Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | 'Bergegar' satu negara apabila lontaran pemecah rekod Muhammad Ziyad Zolkefli tidak diiktiraf. Maruah bangsa terasa seperti diinjak-injak oleh Barat. Kita pun mungkin terfikir: entah-entah Maksym Koval si atlet Ukraine itu anak Yahudi yang kerjanya hanya mahu merosakkan orang Melayu.

Berbondong-bondonglah kita mengecam serta menyerang akaun media sosial Koval. Malah ada sehingga menyamakan tindak-tanduk Ukraine itu seolah-olah musnahnya kes kapal terbang MH17 yang ditembak beberapa tahun dulu.

Selepas memaki-hamun itu dan ini serta memasakkan keyakinan bahawa Ziyad adalah wira anak semua bangsa, kita pun terpisat-pisat kemudiannya selepas satu demi satu berita datang di hujung jari.

Kita pun sedar bukan saja-saja Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) enggan menerima lontaran Ziyad. Rupa-rupanya sebelum beraksi garang di atas padang Ziyad sudah terlewat berada dalam bilik menunggu seperti disyaratkan penganjur.

Dan syarat-syarat penganjur itu sepatutnya bukanlah baru semalam atau minggu lepas diputuskan. Kejohanan paralimpik di Tokyo itu bertaraf antarabangsa, bukan sekadar mempertandingkan atlet antara Kampung Kelubi A dengan Kampung Simpang Tiga Atas Tol.

Kemudian kita yang selalu mudah dibadai emosi ini pun diam-diam menangis tidak berlagu. Mahu meraung berteriak, takut lebih malu.

Suka atau tidak, itulah realiti sejak sekian lama. Ketika jam boleh dikatakan ada di mana-mana, orang kita masih selesa dengan sikap berlengah-lengah. Waktu pada jam sekadar hiasan, manakala waktu sebenar adalah detik kita menentukan ia sesedap rasa.

Tak jemu meratapi nasib

Ia menjadi budaya yang subur. Sesubur biji benih yang jatuh ke tanah subur berbaja. Ia jatuh, tumbuh, membesar, lalu menjadi buah yang ranum.

Dari kedudukan tertinggi hingga ke rakyat paling bawah, hidup kita di sini amat selesa dengan waktu yang diubah suai sesedap rasa walaupun ia sebenarnya bermakna kita memungkiri masa.

Jika janji pada jam 9 pagi, kita masih tenang andai terlewat asalkan tidak melebihi 9.30 pagi. Biasanya ada persefahaman bersama di antara pihak yang menunggu dengan yang ditunggu.

Jika akhirnya muncul rasa tidak sabar, ia hanya akan dialami oleh pihak yang menunggu. Dan kita mengeluh tanpa jemu sambil meratapi nasib betapa negara dan bangsa ini sukar menjadi maju.

Ramai yang mungkin tidak sedar bahawa paralimpik ini bukan saja pertandingan bertaraf dunia, malah diadakan di negara yang amat berdisiplin dari segi masa.

Jepun tentu tidak mudah menerima alasan seperti yang lazim kita berikan di sini seperti hujan, jalan sesak atau ada banjir kilat. Masa adalah masa dan ia boleh memberi kesan kepada maruah seseorang.

Bayangkan jika orang Jepun - atau Ukraine - berada di negara ini dan perlu berurusan rasmi. Di pejabat kerajaan, misalnya. Barangkali mereka akan terpesona menyaksikan bagaimana kadang-kadang urusan yang mudah dan ringkas boleh berlarutan menjadi lama.

Itu belum dikira masa menunggu pesanan makanan disiapkan di restoran. Andainya kita memesan nasi goreng kampung kadang-kadang waktu yang diambil untuk menyiapkannya seolah-olah pekerja kedai makan itu pergi ke mana-mana ceruk kampung untuk mendapatkan hidangan tersebut.

Dalam filem Pendekar Bujang Lapuk, seniman P. Ramlee secara nakal menyindir disiplin pengurusan masa orang kita. Masih ingat lagi dialog Allahyarham A Rahim?

“Kalau tak sabar, pergi berenanglah Wak!” katanya di jeti penambang itu.

Dah lambat tambah lewat

Pada masa sama sudah menjadi tradisi menteri, timbalan menteri, ketua pengarah, pengarah atau pegawai kanan merakam gambar masing-masing ketika mengetik kad perakam waktu pada hari pertama masuk kerja.

Apakah yang ingin kita ditunjukkan sebenarnya? Adakah ia simbolik keazaman untuk menepati - dan janji - sewaktu bekerja atau sekadar retorik untuk diabadikan sebagai kenang-kenangan selepas bersara nanti?

Kelambatan seakan-akan sudah menjadi budaya yang diterima dengan pasrah oleh semua. Bantuan selalu lambat, pelaksanaan projek biasa lewat, pengagihan sokongan pun perlahan.

Lihat saja bagaimana kita menguruskan komputer riba untuk pelajar bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sekarang.

Lebih malang entah berapa banyak projek awam yang lewat disiapkan, malah sesetengahnya terbengkalai bertahun-tahun. Lebih daripada itu, pihak yang berkenaan kemudian bertoleransi dengan memberikan masa tambahan kepada kontraktor yang gagal.

Dalam bidang pendidikan, kita pernah diberitahu bahawa pelaksanaan kandungan TV Pendidikan lewat dan kerajaan memberikan masa lanjutan untuk disiapkan, di Maran projek hospitalnya masih tersedak-sedak untuk disempurnakan.

Dalam politik juga isu berlengah-lengah ini sudah sebati dalam kalangan orang yang terlibat. Jangan lupa, Dr Mahathir Mohamad punya angkara juga menyumbang kepada kekalutan politik yang sedang kita hadapi ini.

Bayangkan kalau dia menepati dan menghormati masa untuk menunaikan janjinya kepada Anwar Ibrahim. Mungkin kita tidak perlu hidup dalam jenaka demokrasi yang sedang berlaku sekarang ini.

Dalam filem Rock Oo! ada babak yang sangat menyentuh hati. Ia melibatkan Jijo Alfonso Pareira Abdullah (lakonan Khir Rahman) sedang bercakap dari hati ke hati dengan Wan Sulaiman atau Slash (Pekin Ibrahim).

Jijo berpesan: "Sekarang ni ada tiga perkara yang boleh menjatuhkan sesebuah negara, an... an. Satu: rasuah. Dua: tak menepati masa. Tiga: cinggey."


SHAMZ JOHAN ialah seorang penulis bebas dan aktivis kebajikan di Kuala Lumpur.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS