Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MySejahtera kini ada fungsi 'check-out', status vaksinasi
Diterbitkan:  Sep 2, 2021 10:35 PM
Dikemaskini: 2:35 PM

Aplikasi MySejahtera menerima beberapa penambahbaikan bermula malam ini termasuk ia akan lebih mudah untuk mengenal pasti status vaksinasi seseorang.

Berdasarkan tangkapan layar yang dikongsi oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, daftar masuk pengguna pada skrin akan menunjukkan bukan hanya status risiko Covid-19, malah juga status vaksinasi mereka.

"Pasukan MySejahtera akan melakukan pembaharuan malam ini untuk memudahkan orang ramai menunjukkan tahap risiko dan status vaksinasi mereka. Ini akan memudahkan hidup bersama Covid-19.

"Akan terus dikemas kini dan perbaiki aplikasi ini selama beberapa minggu mendatang," katanya di Twitter.

Sebagai tambahan, butang 'daftar keluar' telah ditambahkan untuk melengkapi fungsi 'daftar masuk' ke aplikasi itu. Khairy berkata ini bagi meningkatkan pengesanan kontak.

"Setelah meninggalkan sesuatu tempat, ingat untuk check-out. Anda hanya perlu tekan butang - tidak perlu scan, ”katanya.

Status vaksinasi adalah penting kerana individu yang diberi vaksin sepenuhnya menikmati kebebasan yang lebih luas di bawah perintah sekatan yang dikuatkuasakan di seluruh negara.

Bagaimanapun, status vaksinasi seseorang pada masa ini tidak ditunjukkan dengan jelas pada aplikasi MySejahtera.

Sebaliknya, ia memerlukan beberapa langkah untuk melihat pada paparan skrin telefon pintar untuk meneliti sijil vaksinasi pengguna.

Sijil itu hanya menunjukkan tarikh setiap dos vaksin yang diberikan, oleh itu seseorang yang memeriksa sijil berkenaan harus mengira jumlah hari yang telah berlalu.

Untuk rekod, seseorang individu dianggap telah diberi vaksin sepenuhnya 14 hari selepas dos kedua vaksin diberikan. Bagi vaksin dos pertama, waktunya adalah 28 hari selepas vaksin diberikan.

Ini bagi memberikan masa secukupnya agar imuniti vaksin menjadi matang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS