Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM digesa jelaskan sebab dakwaan rasuah bekas ahli lembaga Felda ditarik balik
Diterbitkan:  Sep 2, 2021 9:25 PM
Dikemaskini: 1:25 PM

Transparency International-Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mejelaskan keputusan pihak pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan rasuah terhadap bekas ahli lembaga pengarah Felda, Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashi.

Presiden TI-M Muhammad Mohan berkata, ia satu keputusan yang mengejutkan orang ramai dan kumpulan masyarakat sivil.

"Sementara kami memahami aspek teknikal dalam kes ini, namun penting bagi SPRM untuk menjelaskan kepada orang awam mengapa perlu untuk menarik balik pendakwaan setelah meneliti pernyataan pembelaan.

"Ini kerana ia telah membangkitkan banyak persoalan di kalangan masyarakat dan juga untuk mengelak berlakunya defisit kepercayaan terhadap SPRM di kalangan masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bernama semalam melaporkan Noor Ehsanuddin dilepas dan dibebaskan daripada 29 pertuduhan rasuah oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Sejumlah 14 pertuduhan melibatkan dakwaan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Sepuluh pertuduhan lagi termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama pada 2013 dan 2014.

Sejumlah 24 saksi pendakwaan, termasuk pegawai bank dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia, telah dipanggil memberi keterangan dalam prosiding yang bermula Ogos 2019.

Peguamnya, Hasnal Rezua Merican dilaporkan berkata, keputusan untuk menarik balik pertuduhan dibuat setelah SPRM menyiasat pernyataan pembelaan di bawah Seksyen 62 Akta SPRM dan berpuas hati bahawa kesemua transaksi yang dipertuduhkan adalah wang duluan (advances) yang telah dibayar balik sepenuhnya.

Bagaimanapun, kata Muhammad lagi, ia mencetuskan persoalan tentang mengapa perkara itu tidak diteliti dari awal, ketika pertuduhan dikenakan terhadap Noor Ehsanuddin.

"Fakta bahawa (transaksi) adalah 'wang duluan' dan 'telah dibayar balik sepenuhnya' tidak menyebabkan transaksi tersebut kurang korup berbanding apa yang didakwa pada mulanya, bahawa ia sebahagian daripada 'habuan' menurut Akta SPRM," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS