Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Speaker nafi tolak 15 usul untuk dia kosongkan jawatan
Diterbitkan:  Sep 2, 2021 12:57 PM
Dikemaskini: 6:27 AM

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun hari ini menafikan dia menolak usul yang dikemukakan bagi dia mengosongkan jawatannya.

Sebaliknya, Azhar berkata, dia tidak akan membuat sebarang keputusan berkaitan usul itu kerana melibatkan percanggahan kepentingan.

Katanya, apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut akan diserahkan kepada timbalanya Mohd Rashid Hasnon.

"Pejabat saya sememangnya menerima pemberitahuan usul-usul untuk saya mengosongkan jawatan dan juga supaya individu lain dilantik sebagai Yang di-Pertuan Dewan Rakyat.

"Sebaik sahaja pejabat saya menerima usul-usul tersebut, saya mengutuskan surat kepada kesemua pengusul bahawa saya tidak akan sama sekali membuat apa-apa keputusan mengenai semua usul berkenaan kerana saya mempunyai percanggahan kepentingan.

"Apa-apa keputusan mengenai usul tersebut diserahkan kepada Timbalan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata demikian susulan laporan Utusan Malaysia semalam yang mendakwa sekurang-kurangnya 15 usul dikemukakan ahli Dewan Rakyat yang mahu Speaker Dewan Rakyat ditukar, tetapi semuanya ditolak.

Kata Azhar dia tidak pernah mengambil bahagian dalam apa cara sekali pun atau campur tangan di dalam apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut.

"Malah saya tidak tahu-menahu mengenai apa-apa keputusan yang mungkin dibuat oleh timbalan speaker mengenai usul-usul tersebut," katanya.

Azhar yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya itu mendakwa laporan Utusan Malaysia mempunyai unsur 'innuendo'.

"Adalah tidak benar bahawa usul-usul tersebut ditolak oleh saya dan saya anggap (laporan itu) bersifat pembohongan dan fitnah dan dibuat dengan niat untuk menjatuhkan reputasi saya," katanya.

Tambah Azhar, dia akan menerima nasihat undang-undang mengenai perkara itu dalam masa yang terdekat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS