Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairy: Tiada kematian berpunca vaksinasi, ada beberapa kejadian serius

Menteri kesihatan yang baru dilantik, Khairy Jamaluddin berjanji akan bersikap telus berhubung situasi Covid-19 di Malaysia, dengan mengumumkan data terperinci mulai minggu depan.

Ini termasuk laporan "kejadian kesan buruk" yang dilaporkan oleh mereka yang menerima vaksin Covid-19.

Dia berkata data tersebut menunjukkan hanya sebilangan kecil dari mereka mengalami kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI).

Menurut Khairy, daripada 34.46 juta dos vaksin yang diberikan setakat 30 Ogos, KKM menerima laporan sebanyak 0.53 AEFI untuk setiap 1,000 dos. Hanya 0.04 daripada 1,000 dos dilaporkan sebagai AEFI serius.

Sebilangan besar kes serius hanya memerlukan tempoh yang singkat di hospital untuk pengawasan dan rawatan, dan tidak ada satu pun kematian yang berkaitan dengan vaksinasi.

“Bagaimanapun, untuk redakan kegelisahan rakyat, saya telah berbincang dengan (Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah).

“Kita akan mengeluarkan sejumlah besar data pada minggu depan supaya anda semua dapat lihat dengan tepat jenis AEFI - sama ada sakit kepala, demam, dan insiden ‘tromboemboli’ (darah beku pada pembuluh darah).

“Kita akan keluarkannya (data) sebagai sebahagian daripada komitmen saya untuk menyediakan ketelusan kepada anda semua pada minggu depan mengenai data AEFI," kata Khairy pada sidang media hari ini.

Katanya lagi, Kementerian Kesihatan menerima maklum balas mengenai AEFI melalui aplikasi MySejahtera pada kadar 20.7 respons untuk setiap 1,000 dos.

Kadar ini dianggap tinggi dan memberikan beberapa petunjuk mengenai AEFI yang dialami oleh penerima vaksin.

Untuk rekod, dari segi perubatan, "kejadian kesan buruk" itu merujuk kepada perkara yang tidak diingini selepas prosedur perubatan sama ada disebabkan oleh prosedur itu sendiri atau tidak.

Sementara itu, pada sidang media di Putrajaya, Khairy berkata soal ketelusan yang lebih besar antara beberapa perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat kementerian hari ini.

Walaupun kementerian sudah menyediakan banyak data melalui sistem Github, Khairy berkata ketelusan seperti itu perlu dipertingkat.

Oleh itu, kementeriannya akan mengeluarkan data terperinci minggu depan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pengurusan KKM sebelum ini dan juga kepada Tan Sri Ketua Pengarah kerana banyak data sudahpun mula disenaraikan secara open source di Github.

“Tapi saya telah buat ketetapan budaya kerja KKM selepas ini lebih kepada ketelusan supaya soal kepercayaan kepada kerajaan dan respon KKM terhadap pandemik ini.

“Tidak ada lagi tuduhan kerahsiaan ataupun tidak ada lagi tuduhan tembok maklumat yang tidak dapat kita perolehi daripada kerajaan,” katanya.

Pada sidang media tersebut, Khairy juga diminta untuk mendedahkan data terperinci mengenai jangkitan Covid-19 dalam kalangan individu yang divaksinasi sepenuhnya, termasuk profil demografi mereka, jenama vaksin yang terlibat, dan tempoh dari divaksinasi hingga jangkitan.

Khairy berkata kementerian akan memberikan perincian tersebut secara bertulis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS