Aktivis alam sekitar Shakila Zen berkata dia trauma dengan surat oleh individu tak dikenali yang mengancamnya dengan serangan simbah asid, yang dihantar ke rumahnya dalam sebuah bungkusan bersama dengan replika yang menyerupai tangan yang dipotong berlumuran darah dua hari lalu.
Kini, dia berkata keluarganya telah menasihatinya agar tidak meneruskan kegiatan aktivisme kerana bimbang dengan keselamatannya.
"Sejujurnya, saya trauma apabila memikirkan ada orang yang saya tak kenal hantar bungkusan itu di hadapan rumah keluarga saya.
"Keluarga saya minta saya kurangkan (kegiatan aktivisme) jika boleh, jangan terlibat dengan NGO dan aktivisme.
"Saya mungkin ambil nasihat mereka untuk sementara waktu ini, tetapi tetap akan kembali," kata Shakila kepada Malaysiakini hari ini.
Dia berkata pada 30 Ogos, seorang lelaki tidak dikenali berpakaian kameja dengan logo syarikat kurier menyerahkan bungkusan itu kepada bapanya di rumah keluarganya itu.
Individu tersebut turut mengambil gambar bapanya dan bertanya kepadanya sama ada Shakila ada di rumah, tambahnya.
"Tetapi ketika polis dan rakan saya yang lain mencari maklumatnya, nombor bungkusan itu tidak wujud,” katanya.
Shakila juga mendedahkan bahawa seorang lelaki lain yang berpakaian kameja dengan logo syarikat perkongsian kenderaan telah datang ke rumah keluarganya pada minggu lalu, mendakwa ingin berjumpa dengannya untuk menyerahkan beberapa dokumen kepadanya.
Bagaimanapun, lelaki itu pergi tanpa menyerahkan sebarang dokumen ketika bapanya berkata sedang sibuk bekerja.
Sejak itu Shakila membuat laporan polis mengenai insiden tersebut, bersama laporan berhubung dia menerima pesanan teks tidak senonoh yang mengandungi maklumat peribadinya di WhatsApp.
Polis ketika ini sedang menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan, yang melibatkan ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama.
Bapa Shakila dipanggil ke ibu pejabat polis daerah Klang Utara sebagai saksi hari ini untuk membantu siasatan.
Selepas menerima ancaman sedemikian, Shakila dan keluarganya telah mengambil langkah-langkah demi menjaga keselamatannya, termasuk memasang kamera pengawasan di rumah.
“Saya juga bawa penyembur lada ke mana sahaja saya pergi dan memakai pelindung muka dan sarung tangan untuk mengelakkan (kemungkinan) disimbah asid.
"Saya juga telah mendapatkan beberapa nasihat undang-undang daripada seorang peguam," katanya.
Terdahulu dilaporkan bahawa Shakila telah menerima ancaman serangan asid dan gangguan berbentuk seksual pada 30 Ogos dan 31 Ogos.
Shakila berpendapat gangguan dan ancaman tersebut adalah berikutan dengan video ulasannya berkenaan himpunan #Lawan pada 31 Julai yang tular di aplikasi Tiktok.