Harga runcit petrol RON95, RON97 serta diesel kekal, masing-masing pada paras RM2.05, RM2.72 dan RM2.15 seliter, bagi tempoh bermula esok hingga 8 Sept ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Bagi melindungi pengguna daripada peningkatan harga minyak, kerajaan mengekalkan harga siling RON95 dan diesel sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat, melebihi harga siling yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu menyatakan kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah-langkah sewajarnya, bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
- Bernama