Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayaran BKC mulai Isnin ini - PM
Diterbitkan:  Sep 1, 2021 3:53 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Bayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) fasa satu akan dibayar bermula Isnin ini, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, bayaran secara berperingkat yang bermula 6 September ini dijangka selesai 10 September. 

BKC akan memanfaatkan 10 juta penerima yang terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40, serta golongan bujang yang berkelayakan.

"Saya mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan pada Ogos lalu, justeru saya mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran BKC.

"Hari ini, dana berjumlah RM3.1 bilion disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan. 

"Proses pengkreditan fasa satu akan bermula pada 6 September 2021 dan dijangka selesai pada 10 September 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

BKC adalah sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.

Kerajaan pada 28 Jun lalu mengumumkan Pakej Pemulih  sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid.

Menurut perdana menteri, pembayaran seterusnya akan dilaksanakan mengikut kategori kelayakan dan fasa tertentu. Tarikh pembayaran BKC fasa dua dan tiga akan diumumkan Kementerian Kewangan kelak.

"Saya sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar’” katanya.

Antara kumpulan yang layak menerima BKC adalah golongan miskin tegar dan B40 dengan jumlah pendapatan RM5,000 dan ke bawah untuk isi rumah dan warga emas, serta bujang dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah. Semua ini berdasarkan kriteria kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR 2021).

Sementara itu, golongan M40 yang melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 untuk isi rumah dan RM2,501 hingga RM5,000 untuk bujang, juga layak menerima BKC.

Di bawah BKC, kategori miskin tegar, isi rumah akan menerima RM1,300; warga emas sebatang kara (RM500) dan bujang (RM500).

Bagi kategori B40, isi rumah akan menerima RM800, warga emas sebatang kara (RM200) dan bujang (RM200) manakala kategori M40, isi rumah layak menerima RM250, warga emas sebatang kara (RM100) dan bujang (RM100).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS