Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh ayah kandungnya, pada kejadian 24 Ogos lalu.

Tertuduh, Muhamad Nur Amin Azmail, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Dia didakwa dengan pengetahuannya telah mencuba membunuh ayah kandung, Azmail Mohd Salmon, 66, dengan menikam pada bahagian leher menggunakan sebilah pisau.

Perbuatan itu dilaporkan berlaku di sebuah rumah di hadapan Pasar Bachok jam 10.40 pagi, pada 24 Ogos lalu. 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Wan Nurul Hanini dalam pendakwaan memaklumkan, tertuduh mendapat rawatan psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, sejak lima tahun kerana mengalami masalah mental dan masih menerima rawatan.

Menurutnya, tertuduh juga mempunyai temu janji rawatan pada 6 Oktober depan.

"Saya mohon tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan psikiatri serta tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang serius," katanya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan dan menetapkan 30 September depan bagi sebutan semula kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS