Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Adun kerajaan S'gor gesa batal keputusan nyah warta hutan simpan Kuala Langat
Diterbitkan:  Aug 31, 2021 12:27 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Adun PH Selangor menggesa kerajaan negeri untuk menarik balik keputusan untuk menyahwarta sebahagian hutan simpan Kuala Langat Utara.

Adun Kota Anggerik dari PKR, Najwan Halimi berkata dia kecewa dengan tindakan kerajaan negeri membuat keputusan tanpa mengambil kira keputusan yang dipersetujui majoriti Adun Selangor pada 11 November lalu.

"Saya menggesa kerajaan negeri untuk mengkaji semula keputusan ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Najwan mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor semalam yang mengatakan keputusan itu dibuat demi masa depan perumahan awam di negeri itu.

"Tidak logik jika alasannya adalah untuk memenuhi tuntutan perumahan di negeri ini," kata Najwan yang pada November tahun lalu mengemukakan usul yang dipersetujui sebulat suara bagi menggesa kerajaan negeri yang dipimpin PKR melindungi dan memelihara hutan simpan di negeri itu.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong juga membidas kenyataan Hee yang mengatakan kerajaan negeri tidak terikat dengan keputusan sebulat suara DUN Selangor berhubung usul Najwan untuk memelihara hutan simpan Kuala Langat Utara

"Menteri besar dan exco negeri bertanggungjawab kepada dewan undangan negeri.

"Adun sekarang berhak untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap menteri besar dan exco," kata Leong kepada Malaysiakini.

"Setiap Adun sekarang harus bertanya hati nurani mereka apakah akan menyokong menteri besar dan exco.

"Bolehkah mereka terus menyokong menteri besar dan exco yang tidak menghormati keputusan dewan undangan negeri?," kata Leong.

Adun Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze mengingatkan kerajaan negeri bahawa sidang DUN pada November 2020 secara sebulat suara melulukan usul untuk memulihara hutan simpan di Selangor.

"Saya sangat kecewa. Namun ia belum terlambat. Keputusan masih boleh dipertimbangkan semula.

"Saya mohon kerajaan negeri berbuat demikian dan menghormati usul yang diluluskan pada sidang lepas. Usul tersebut mencerminkan suara rakyat," kata Adun DAP itu di Twitter.

Michelle Ng

Adun Kampung Tunku yang juga dari DAP, Lim Yi Wei juga menyuarakan kekecewaannya berhubung keputusan itu.

"Saya tidak faham bagaimana exco boleh kata tiada ageni kerajaan yang bantah penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara," katanya di Twitter.

Dia berkata antara agensi yang membuat bantahan adalah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

"Saya menggesa kerajaan Selangor untuk mempertimbangkan semula keputusan menyahwarta 536.70 hektar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara," katanya lagi.

Kerajaan Selangor pada mulanya merancang untuk menyahwartakan kawasan seluas 991.9 hektar hutan itu tetapi kemudian mengurangkannya ekoran bantahan meluas.

Lim Yi Wei

Kawasan itu termasuk penempatan Orang Asli.

Exco alam sekitar dan hal ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata kerajaan negeri memutuskan untuk tidak memasukkan kawasan yang penting untuk Orang Asli.

Penyahwartaan dibuat pada Mei lalu tanpa sebarang publisiti dan hanya menjadi perhatian umum susulan sidang DUN Selangor minggu ini.

Lim menegaskan masyarakat Orang Asli akan tetap terjejas dengan keputusan itu.

"Walaupun (nyahwarta) tidak ada kampung atau kubur Orang Asli, ia masih merupakan tanah adat dan tanah rayau suku Temuan di situ," katanya lagi.

Laporan tambahan oleh Alyaa Alhadjri


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS