ULASAN | Sepanjang kerjaya sukan Chong Wei, satu dunia Chong Wei merantau untuk bermain badminton, demi bendera di dada.
Kadang-kadang pergi dekat, kadang-kadang jauh. Ada pernah ke negara maju, ada juga masanya bertapak di negara membangun dan negara mundur.
Ni nak berkongsi serba sedikit pengalaman menjelajah jauh. Ini berlaku enam tahun lepas. Chong Wei masa itu berada di tangga ke-99. Demi mengutip mata untuk menyertai Sukan Olimpik Rio, Chong Wei terpaksa pergi jauh ke Amerika Syarikat dan Kanada. Terbang 30 jam sehala, beb!
Sepertimana kejohanan antarabangsa lain, sebelum bertolak, Chong Wei semestinya berbekalkan Maggi, Milo dan biskut PingPong Hup Seng. Kalau tak ada, sanggup tak terbang, beb!
Selepas menang di New York, sampailah Chong Wei di Calgary. Terkejut juga. Umpama pekan cowboy yang high class. Lambang-lambang cowboy belaka merata tempat.
Rupanya seluruh bandar ketika itu tengah dalam persiapan untuk Festival Stampede, festival cowboy yang disanjungi puak-puak cowboy di Amerika Syarikat dan Kanada.
Cantik sebenarnya Calgary ni. Gunung Rockies antara pemandangan paling menawan untuk saya. Serius.
Selepas dah muak makan Western seminggu di AS dan Kanada, kawan baba aku Mr E yang buka dewan badminton di Calgary bawa menjamu di restoran-restoran makanan Malaysia di Calgary. Adalah rasa sikit bau Malaysia. Tapi memang kuranglah rasanya. Kerinduan terhadap Malaysia semakin terasa.
Entahlah, mungkin itulah sebabnya kurang bermaya persembahan Chong Wei, terpaksa terheret ke rubber games berlawan Sai Praneeth dan Takuma Ueda di suku akhir dan separuh akhir. Terlebih Maggi dan biskut PingPong kot. Mungkin lain cerita kalau ada biskut cap badminton.
Malam sebelum perlawanan akhir. Tak tahu nak makan apa dah. Pernah try KFC dan McDonald tapi sumpah guys, KFC dan McDonalds kat Malaysia terbaik! Dah down dah… esoknya nak lawan Ng Ka Long ni.
Ring… ring… ring
Kawan lama saya, Naufal call. Dulu main bola keranjang bersama, dah lama terputus hubungan, rupanya dah bertempat di Calgary. Dia ajak jumpa makan malam lepas perlawanan. Aku terus “Apa pula besok?! Malam ni lah, bro”. Terus aku naik Uber ke rumah dia. (Kanada tak pakai Grab).
Naufal sediakan nasi lemak rendang ayam. Bini dia masak kari kambing. Kawan kita sorang lagi Terry Maldini, Melanau Sarawak juga di Calgary. Terry bawak char kuetiau style Prai yang basah, dan 100 Plus! Terkejut aku. Di Lucky Market boleh beli, kata dia.
Oh my god. Best giler! Meletup perut meneriak kesedapan. The rest was history. Ng Ka Long langsung bukan lawan di final.
Kawan-kawan sekalian, tak ada negara lain yang ada makanan seenak di Malaysia. Tak ada negara lain yang ada Melayu, Cina India, Iban, Kadazan Dusun, Melanau panggil satu sama lain bro, abang, adik, ah ne, boss.
Tak ada negara lain yang lebih mewah dari segi tradisi dan adat. Tak ada negara lain yang bole menang Thomas Cup dengan berbilang kaum. Jangan tak sayang Malaysia. Jangan tahu kritik sahaja.
Cubalah sedaya anda melalui kemampuan anda, memperbaiki apa yang rosak, dan memajukan apa yang sedia ada di negara. Masih ada harapan untuk negara yang kita semua cintai ini.
Ini Malaysia kita, tanah air kita. Jangan lupa. Kita semua pernah seketika dulu. Berikrar di perhimpunan sekolah. Akan menumpukan segala tenaga dan usaha..
Demi...Negara kita… Malaysia kita…
LEE CHONG WEI merupakan bekas pemain badminton nombor satu dunia.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.