Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco: Kilang tetap dibuka kerana Selangor terikat arahan MKN
Diterbitkan:  Aug 30, 2021 4:45 PM
Dikemaskini: 11:22 AM

Kerajaan Selangor terikat dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam isu pembukaan semula kilang, walaupun angka Covid-19 masih tinggi di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan negeri, Ng Sze Han berkata, MKN diberi kuasa berdasarkan Akta MKN untuk mengeluarkan arahan demi keselamatan negara termasuk kepada kerajaan negeri.

"Arahan-arahan yang dikeluarkan oleh MKN merupakan suatu kehendak undang-undang yang perlu dipatuhi dan mengikat kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri melalui PBT bertanggungjawab memastikan sesebuah kilang beroperasi dengan mematuhi syarat lesen yang telah ditetapkan.

"Oleh sebab itu, kerajaan negeri tidak akan tutup kilang sekiranya kilang tersebut mendapat kelulusan MITI dan mematuhi semua syarat lesen yang telah ditetapkan oleh PBT," kata Ng semasa sidang DUN Selangor hari ini.

Dia menjawab soalan Long Tuck Chee (Harapan - Pandamaran) peruntukan kuasa yang ada pada kerajaan Selangor untuk menutup kilang di negeri itu.

Namun kata Ng, kerajaan negeri akan menutup kilang sekiranya mereka didapati melanggar peraturan yang ditetapkan PBT.

Katanya, beberapa operasi bersepadu telah dijalankan PBT dan pihak berkuasa juga telah menutup beberapa buah kilang yang melakukan kesalahan.

Sementara itu, dalam isu berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan alasan khuatir berlaku kecurian data apabila aplikasi MySejahtera dan SELangkah diintegrasikan bagi pengesanan kontak rapat.

Dr Siti Mariah berkata tidak semua data perlu dikongsikan antara MySejahtera yang dibangunkan kerajaan Persekutuan manakala SELangkah dibangunkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, semua maklumat dalam kedua-dua aplikasi tersebut akan melalui proses secara automatik menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Tidak semua data (daripada SELangkah) akan diberikan kepada MySejahtera dan begitu juga dari MySejahtera kepada SELangkah untuk pengesanan kontak.

“Ini kerana, semua data ini adalah bersifat anonymous (bersifat rahsia),” katanya dalam sidang DUN yang sama.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar (PH-Meru) yang bertanyakan kerahsiaan data pengguna Selangkah sekiranya dikongsikan dengan aplikasi MySejahtera.

Untuk rekod, MySejahtera dibangunkan oleh kerajaan pusat, manakala Selangkah merupakan inisiatif kerajaan negeri Selangor.

Siti Mariah berkata dia akan bertemu dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tidak lama lagi untuk membincangkan integrasi kedua-dua aplikasi tersebut.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS