Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas pengarah SRC tutut ganti rugi isu saman RM4.8 bilion

Bekas pengarah SRC International Mohammed Azhar Osman Khairuddin menuntut bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan seorang lagi untuk memberikan ganti rugi sepenuhnya terhadap tuntutan SRC sebanyak AS$1.15 bilion (RM4.8 bilion).

Azhar menuntut ganti rugi penuh selepas SRC mengugurkan Shahrol dan bekas pengerusinya Ismee Ismail sebagai defendan dalam saman syarikat itu.

Sebelumnya, SRC menuntut bukan hanya Azhar, Shahrol, dan Ismee, tetapi juga bekas perdana menteri Najib Razak, bekas pengarah SRC Suboh Md Yassin dan Che Abdullah @ Rashidi Omar, dan bekas CEOnya Nik Faisal Ariff Kamil.

Namun, pada 30 Julai, dilaporkan bahawa SRC menarik balik tuntutan terhadap Ismee dan Shahrol/

Setakat ini, lima defendan yang masih menjadi sasaran tuntutan SRC adalah Najib, Suboh, Azhar, Che Abdullah, dan Nik Faisal.

Saman itu adalah salah satu daripada 22 yang dilancarkan oleh 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC, terhadap pelbagai personaliti dan entiti yang didakwa menipu mereka, sama ada secara sedar atau tidak.

Shahrol sebelumnya memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion yang sedang berlangsung, sementara Ismee memberikan bukti terhadap bekas perdana menteri itu dalam perbicaraan rasuah SRC bernilai RM42 juta.

Peguam Azhar, dari firma guaman Tetuan Chooi & Company + Cheang & Ariff, mengemukakan permohonan pihak ketiga di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Ogos.

Menurut permohonan yang dilihat oleh Malaysiakini hari ini, Azhar meminta Shahrol dan Ismee, bersama-sama sebagai pihak ketiga, untuk memberikan ganti rugi sepenuhnya terhadap semua kerugian yang mungkin ditanggungnya oleh tuntutan SRC.

Azhar juga meminta Shahrol dan Ismee menanggung kos guamannya untuk membela diri dari tuntutan SRC.

Azhar berpendapat bahawa dakwaan transaksi penipuan yang diadukan dalam saman itu berlaku ketika Shahrol dan Ismee adalah ahli lembaga SRC.

Dia mendakwa bahawa Shahrol adalah ahli lembaga SRC dari 1 Ogos 2011 sehingga mengundurkan diri pada 15 Mei 2012, dan bahawa Ismee adalah ahli lembaga pengarah dari 1 Ogos 2011 hingga 15 Ogos 2014.

Antara dakwaan transaksi yang dirujuk oleh Azhar adalah penerbitan sejumlah RM4 bilion pinjaman dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) ke akaun SRC pada 29 Ogos 2011 dan 28 Mac 2012.

Isu pinjaman KWAP menjadi tumpuan utama dalam perbicaraan rasuah SRC bernilai RM42 juta, yang menyaksikan Najib disabitkan kesalahan tahun lalu dan dijatuhkan hukuman denda RM210 juta dan penjara 12 tahun.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan hukuman denda dan hukuman penjara sementara menunggu rayuan Najib di Mahkamah Rayuan.

"D4 (defendan ke-4, Azhar) menyatakan bahawa tiada apa-apa sebab di sisi undang undang atau fakta yang menyebabkan beliau bertanggungkawab atau mungkin mengakaun (accountable) kepada Plaintiff (a) sebagai peemengang amanah konstruktif ke atas pengeluaran Pinjaman KWAP yang dikeluarkan ke dalam Akaun-Akaun AmIslamic SRC pada 29 Ogos 2011 dan 28 Mac 2012, masing-masing, dan pada masa yang material di mana D4 bukan seorang pengarah atau pegawai dalam apa jua kapasiti kepada Plaintif, tidak seperti Pihak Ke-3 ertama (Shahrol) dan Pihak Ke-3 Kedua (Ismee).

"Oleh yang demikian, dalam keadaan yang tidak dijangka (unlikely event) di mana D4 didapati bersalah untuk mana-mana atau kesemua Tuntutan-Tuntutan Plaintif tersebut, D4 menuntut bahawa Pihak Ke-3 Pertama dan/atau Pihak Ke-3 Kedua, sama ada secara bersesama dan berasingan, didapati bertanggungjawab untuk menanggung (indemnify) atau menyumbang setakat mana yang difikirkan wajar dan sesuai oleh Mahkamah yang Mulia ini, terhadap apa-apa kerugian yang timbul daripada tuntutan Plaintif sepertimana jika Pihak Ke-3 Pertama atau Pihak Ke-3 Kedua merupakan pihak yang telah disaman oleh Plaintif," kata Azhar.

Azhar turut berkata bahawa kerana dia bukan ahli lembaga SRC pada waktu yang dipertikaikan, dia tidak memiliki pengetahuan bukan hanya mengenai pinjaman KWAP bernilai RM4 bilion tetapi juga mengenai transaksi lain yang menjadi fokus pertikaian dalam tuntutan itu.

Menurut senarai kausa dalam talian di ecourtservices.kehakiman.gov.my, tindakan undang-undang SRC akan dibuat untuk pengurusan kes dalam talian di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 September.

Malaysiakini berusaha menghubungi pasukan undang-undang yang mewakili Azhar, Shahrol, dan Ismee mengenai perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS