Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes pukul bomoh: 4 pengamal perubatan tradisional mengaku tak bersalah

Empat pengamal perubatan tradisonal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini terhadap dakwaan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki, dalam kejadian awal bulan ini.

Mohd Shamsul Izwan Midin, 33, Idrees Ishak, 42, Muhammad Firdaus Mohd Adnan, 33, dan Mohd Eric Mohd Ramli, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahril Ramli.

Mengikut kertas pertuduhan, empat individu itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki yang juga pengamal perubatan tradisional, Ahmad Shahrill 'Ariff Zainol, 39, di sebuah inap desa Al Quds Jalan Taqwa, Kampung Huda di Kota Bharu, kira-kira jam 4.00 pagi, pada 5 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Keempat-empat OKS diwakili peguam bela, Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua mereka diberi jaminan sebanyak RM3,000 setiap orang dengan masing-masing melalui seorang penjamin.

Mohd Izdham menetapkan tarikh 4 Oktiber depan bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan seorang pengamal perubatan tradisional dipukul sekumpulan lelaki akibat tidak berpuas hati dengan cara perubatan yang dilakukan dalam kejadian di Kota Bharu, pada 4 Ogos lalu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS