Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan saman lucut hak terhadap Najib, 17 yang lain pada 8 Nov

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 8 November ini untuk menyampaikan keputusan berhubung saman lucut hak terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan 17 pihak lagi.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu setelah penghujahan terakhir oleh timbalan pendakwa raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong hari ini.

"Saya perlukan dua bulan untuk penghakiman bertulis. Keputusan untuk menetapkan 8 November," katanya.

Pada 8 Mei 2019, Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan saman lucut hak berkaitan 1MDB terhadap Najib dan 17 pihak merangkumi anggota keluarganya, individu lain dan syarikat.

Tindakan itu berhubung rampasan ratusan barangan, termasuk beg tangan mewah dan 27 buah kenderaan, daripada 18 responden.

Najib dinamakan sebagai responden pertama, disusuli isterinya Rosmah Mansor, anak tirinya Riza Shahriz Abdul Aziz, dua anaknya Nor Ashman Razak dan Nooryana Najwa, selaku responden kedua hingga kelima.

Responden lain adalah Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low), bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng, lawyer Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.

Kee, Tan dan Geh didakwa sebagai sekutu kepada Jho Low, individu utama dalam skandal 1MDB.

Antara barangan yang dirampas pada 17 Mei dan 11 Jun 2018 adalah 25 beg tangan berjenama, 10 utas jam tangan dan wang tunai - RM187,750 dalam nota lama, RM21,150 dalam nota baru, £ 320,500 dalam nota lama, £ 2,700 dalam nota baru, US $ 100, € 20, S $ 40, 2,870,000 rupee Sri Lanka, 13,177,00 rupiah, 376 hryvnias (mata wang Ukraine), 50 franc, 10 rands, 531 riyal, dan 740 peso Filipina.

Turut dirampas pada hari yang sama adalah empat utas jam tangan berjenama, 171 buah beg tangan mewah dan 27 pasang kasut. Sebanyak 40 lagi beg tangan dirampas pada 11 Jun 2018.

Pada 2 Ogo 2018, sebanyak 27 kenderaan jenis Nissan Urvan turut disita oleh pihak berkuasa.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS