Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelengkapan rumah musnah akibat banjir di Alor Pongsu
Diterbitkan:  Aug 29, 2021 6:45 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Tikar getah dan kelengkapan rumah antara yang musnah atau rosak akibat bencana banjir, yang melanda kawasan Alor Pongsu, Bagan Serai, Perak sejak Jumaat lepas.

Itu antara yang perlu dihadapi penduduk sekitar ketika pulang ke kediaman masing-masing, selepas hampir 10 hari meninggalkan rumah ekoran banjir dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Alor Pongsu sebelum ini.

Seorang penduduk Asiah Harun, 75, dari Kampung Parit Simpang 5 berkata usai pulang ke rumah, tikar getah dan beberapa peralatan dalam rumah yang tidak sempat dipindahkan, telah rosak namun bersyukur kerana ada yang masih boleh digunakan.

“Saya berterima kasih kepada badan bukan kerajaan yang datang untuk membantu membersihkan rumah dan memberikan bantuan barangan keperluan,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Seorang lagi penduduk Zuraimi Abdul Manaf, 45 berkata kejadian banjir ini menyebabkan rumah ibunya telah dinaiki air sedalam 0.5 meter, selain kerosakan ditemui pada perabot dan barangan elektrik yang perlu diganti atau dibaiki.

Seorang lagi penduduk, Hasnah Ibrahim 45, berkata, beliau bersyukur kerana banjir telah pulih dan dapat membersihkan rumah bersama ahli keluarga, dan meneruskan kehidupan semula seperti biasa.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Razman Zakaria berkata, pihaknya memberikan bantuan seperti tikar getah, tilam, tuala dan barangan keperluan kepada mangsa banjir yang terjejas di kawasan Alor Pongsu, bagi meringankan beban mereka.

“Kita menggerakkan 100 anggota PAS dan Jabatan Amal untuk membuat operasi membersihkan rumah mangsa, bagi memberikan keselesaan kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno Bagan Serai Nazirul Jamaluddin berkata pihaknya turut hadir membersihkan rumah dan bergotong royong, termasuk membersihkan lumpur serta membuang sampah di kediaman yang terjejas.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Umno Negeri itu berkata, bantuan seperti bakul makanan turut diagihkan bagi meringankan beban yang perlu ditanggung mangsa terlibat.

Semalam dilapor, satu-satunya PPS yang masih dibuka di Perak di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu, Kerian ditutup, selepas banjir pulih sepenuhnya sekali gus membolehkan kesemua 50 mangsa daripada 17 keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan, yang dibuka sejak 21 Ogos lalu telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Kesemua mangsa dari Kampung Matang Pasir, Kampung Parit Simpang Lima, Kampung Parit Simpang Empat, Kampung Baru dan Kampung Matang Tengah telah dibenarkan pulang dan PPS tersebut ditutup sepenuhnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS