Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: PN Perak nafi ada exco cuba sabotaj k'jaan negeri
Diterbitkan:  Aug 29, 2021 5:06 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Setiausaha Perikatan Nasional Perak, Zainol Fadzi Paharudin menafikan dakwaan terdapat exco di Perak seolah-olah cuba "mensabotaj" usaha kerajaan negeri dalam menangani wabak Covid-19, seperti yang didakwa oleh Adun Hulu Kinta (PKR), Muhamad Arafat Varisai Mahamad baru-baru ini.

Sebaliknya Zainol menyalahkan Arafat kerana bertindak seperti mensabotaj usaha kerajaan dalam menggalakkan rakyat divaksinasi.

"Tidak berlaku dakwaan kata exco PN sabotaj. Sabotaj itu seperti tindakan 15 ahli parlimen Umno kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tapi PN Perak tidak buat seperti itu.

"Sebenarnya dia (Arafat) yang sabotaj usaha kerajaan untuk galakkan rakyat ambil vaksin.

"Sebagai Adun dia telah menunjukkan contoh yang tak sesuai dengan usaha kerajaan tangani pandemik Covid-19," katanya lapor Sinar Harian semalam.

Pada 28 Ogos, Arafat mendakwa tindakan exco dari PN yang dilihat tidak berminat untuk turun padang dalam program rasmi kerajaan negeri sebagai tanda protes kepada Menteri Besar, Saarani Mohamad.

"Sejak kerajaan PN di pusat telah ditumbangkan, ada exco kerajaan dari parti PN tidak ikhlas membantu usaha kerajaan negeri serta tidak minat turun padang bersama menteri besar walaupun menjadi tanggungjawab beliau,” dakwa Arafat.

Dakwaan tersebut hadir selepas Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai), Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) dan Asmuni Awi (Amanah-Manjoi) membangkitkan perkara itu pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Ipoh pada Khamis lalu.

Mengulas lanjut dakwaan itu, Zainol menjelaskan semua exco kerajaan negeri tidak digalakkan hadir beramai-ramai dalam program di dalam tempoh pandemik.

Katanya, adalah tidak sesuai untuk sentiasa mengiringi menteri besar pada setiap program turun padang.

"Saya sendiri buat banyak program outreach pemberian vaksin di kawasan. Ini pun membantu menteri besar dan kerajaan negeri menangani pandemik Covid-19.

"Pada saya Arafat ni tak ada modal sebab tak dapat hadir persidangan Dewan Negeri sebab Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beri SOP yang sudah vaksin sahaja boleh hadir," jelasnya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS