Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH: Tiba masanya laksana reformasi menyeluruh sistem pendidikan
Diterbitkan:  Aug 29, 2021 4:16 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Jawatankuasa Pendidikan PH (JKPPH) berpandangan bahawa sudah tiba masanya untuk mereformasikan sistem pendidikan negara termasuk bidang pengajian tinggi.

Dalam kenyataan media hari ini jawatankuasa itu berkata pihaknya berharap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dapat mempertimbang cadangannya berkaitan reformasi pendidikan.

"Bertitik tolak dari semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang digagaskan perdana menteri, maka JKPPH menganggap inilah masa yang sesuai segala cadangan yang dikemukakan dapat diperhalus berserta kerjasama pelbagai pihak termasuk ahli Dewan Rakyat digembleng ke arah mewujudkan sistem pendidikan lebih mapan dan relevan dalam tempoh yang mencabar ini.

"JKPPH dengan tegas memohon agar cadangan ini dipertimbang oleh perdana menteri termasuk menteri Pendidikan dan menteri Pengajian Tinggi bagi menghentikan segala krisis pendidikan yang sedang berlaku di negara kita," kata mereka.

JKPPH merupakan sayap pendidikan PH dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik.

Ia dianggotai Nik Nazmi (PKR-Setiawangsa), Dr Hasan Bahrom (Amanah-Tampin), Teo Nie Ching (DAP-Kulai), Natrah Ismail (PKR- Sekijang), teven Sim Chee Keong (DAP- Bukit Mertajam) dan Rusnah Aluai (PKR- Tangga Batu).

Dalam kenyataan hari ini, JKPPH membahagikan cadangan kedua dua bahagian, iaitu bagi pendidikan dasar dan pengajian tinggi:

Reformasi pendidikan dasar

  • Merangka perancangan utama (master plan) pendidikan merangkumi pendidikan dasar, pendidikan tinggi danTVET, serta perancangan jangka masa panjang dengan pernyataan dasar ‘pendidikan di kala wabak Covid-19: Solusi buat Malaysia’ oleh bekas menteri pendidikan boleh dijadikan dasar dan panduan.
  • Menubuhkan ‘Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan’ (MTPK) dengan dianggotai para pemegang taruh, terutama wakil-wakil dari NUTP, Unicef, WHO, Kementerian Kesihatan, pakar pendidikan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), badan pengkaji, NGO pendidikan serta ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
  • Pengurusan berkaitan penutupan dan pembukaan sekolah sewaktu Covid-19 hendaklah diserahkan kepada peringkat sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah dengan persetujuan ibu bapa berpandukan garis panduan WHO.
  • Kebenaran untuk ahli parlimen dan adun - tanpa mengira latar belakang politik - untuk terlibat dengan pihak sekolah dan institusi pendidikan, PPD dan jabatan Pendidikan Negeri di kawasan masing-masing bagi membangunkan pendidikan serta infrastruktur dan bukan untuk tujuan politik.
  • Melaksanakan Laporan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara 2019 terutama berkaitan Model Pendidikan Baru (New Education Model).
  • Menghidupkan semula JK Dataraya (Big Data Committee) di Kementerian Pendidikan.
  • Pemberian insentif kepada para guru dalam bentuk one-off atau pengecualian cukai di atas usaha dan wang yang mereka gunakan sepanjang PdPR.
  • Pelaksanaan semula ‘Program Sarapan Pagi’ percuma kepada setiap murid di sekolah.

Reformasi pengajian tinggi

  • Penubuhan kembali Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) yang termaktub dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546).
  • Keanggotaan Lembaga Pengurusan (LPU) Universiti Awam hendaklah bebas daripada lantikan politik dan dihadkan hanya kepada dua penggal.
  • Imej ahli akademi Malaysia yang tercalar kerana isu penerbitan di jurnal pemangsa (predator journal) dan juga isu plagiarisme ditangani secara sistemik. Jawatankuasa Integriti Penyelidikan Kebangsaan yang pernah dicadangkan oleh Majlis Sains Negara (2017) perlu diwujudkan segera.
  • Meminda Akta 605 sebagai jaminan kebebasan akademik dan menjaga integriti para akademik.
  • Meneruskan usaha Jawatankuasa Pemansuhan Auku bagi memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 dan diganti dengan undang-undang yang lebih komprehensif bersekali dengan akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).
  • Meneruskan usaha penubuhan kesatuan pelajar di semua IPT.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS