Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemergian Lajim kehilangan besar pada Sabah
Diterbitkan:  Aug 29, 2021 1:44 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Negara kehilangan seorang tokoh politik berwibawa berikutan pemergian Datuk Seri Lajim Ukin yang banyak menabur jasa dan bakti kepada pembangunan negeri Sabah sepanjang memegang pelbagai portfolio penting di peringkat negeri dan persekutuan.

Lajim bukanlah seorang yang asing dalam pentadbiran kerajaan negeri kerana sepanjang lebih 38 tahun berkecimpung dalam bidang politik beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah di bawah pentadbiran tiga kepimpinan negeri.

Allahyarham, 66, memegang jawatan nombor dua negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Osu Sukam pada 1999, Tan Sri Chong Kah Kiat (2001) dan Tan Sri Musa Aman pada 2003.

Bekas Ahli Parlimen Beaufort yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital KPJ di sini pada jam 6.23 pagi tadi.

Ketika berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Sabah, beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan Sabah terutama dalam bidang kebudayaan, sukan, perumahan, kerajaan tempatan dan sektor pertanian.

Lajim, selaku Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), banyak membantu usahawan di negara ini antara lain melanjutkan moratorium bayaran pinjaman selain menyalurkan pinjaman kepada golongan berpendapatan rendah B40.

Anak jati Kampung Kebatu, Beaufort yang dilahirkan pada 15 Jun 1955 itu pernah berkhidmat untuk negeri Sabah sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Menteri Pertanian dan Perikanan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Pada peringkat Persekutuan, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dari Mac 2008 hingga April 2009 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari April 2009 hingga Julai 2012.

Allahyarham menjadi Ahli Parlimen Beaufort selama sepenggal selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, selain Ahli Dewan Undangan (DUN) Klias selama enam penggal antara 1986 hingga 2013.

Memulakan kerjaya dalam bidang politik selepas menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada tahun 70-an sebelum menyertai parti Berjaya dan dilantik sebagai Ketua Pemuda Berjaya Bahagian Klias.

Pada 1983, Lajim menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) dan dilantik sebagai naib presiden pada 1989 sebelum menyertai UMNO pada 1994, seterusnya dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Beaufort.

Beliau menyertai PKR pada 2016 dan kemudian menyertai Bersatu sebelum dilantik sebagai Ahli MPT Bersatu untuk penggal 2019 hingga 2022.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS