Paling Popular
Terkini

ULASAN | Tiga hari sebelum Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan kabinet berjenama 'Keluarga Malaysia' itu, media melaporkan berita yang amat sayu.

Mulai Mac 2020 sehingga Ogos 2021, seramai 1,517 pelajar menjadi anak yatim atau yatim piatu apabila salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka menjadi korban Covid-19.

Tanpa mengabaikan hakikat takdir - dan bukan mempersoal aturan Tuhan - kita tentu saja boleh bertanya: berapa ramaikah kanak-kanak yang dapat diselamatkan daripada menjadi yatim atau yatim piatu jika pandemik Covid-19 ini diuruskan pemerintah kompeten?

Apabila kabinet baru itu diumumkan perdana menteri, nampaknya ia gagal menjadi 'ubat' yang menenangkan kegelisahan rakyat. Kecuali sedikit, menteri-menteri yang dilantik itu adalah muka-muka yang sama menerajui kepimpinan terdahulu yang diakui ramai sebagai gagal.

Berdasarkan pemilihan itu dapat disimpulkan bahawa kabinet 'Keluarga Malaysia' hanyalah kelangsungan politik sesetengah pihak ketika kedudukan mereka dalam kerajaan terus merapuh.

Jika nanti ada kelapangan, cuba hitung bilangan ahli kabinet yang gah itu dan biaya yang dihabiskan untuk menggaji menteri dan timbalan menteri yang kadang-kadang kita ragui fungsinya. Kemudian bandingkan biaya itu dengan apa yang dapat dilakukan untuk meringankan beban petugas barisan hadapan, misalnya.

Melantik pengampu dan memberikan jawatan untuk membalas jasa ahli parlimen adalah realiti pahit yang terpaksa dihadapi rakyat negara ini untuk entah berapa lama.

Kewibawaan yang mengagumkan dunia

Menjadi rakyat Malaysia ini, salah satu hakikat yang harus kita terima ialah kebanyakan menterinya diberikan tugas dalam bidang yang bukan kepakaran atau latar pendidikan mereka.

Mari kita mencari 'petua' ke Taiwan yang berada dalam kelompok negara ekonomi maju diiktiraf Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Bekas naib presiden Taiwan dahulu, Chen Chien-jen adalah lulusan PhD dari Universiti Johns Hopkins dalam bidang epidemiologi dan mendapat pujian antarabangsa semasa menangani Covid-19 yang tersebar di seluruh dunia.

Dia menggunakan kelebihan dalam jawatan politiknya untuk mengkritik Beijing kerana pada awalnya negara terbabit mahu menyembunyikan virus itu walaupun para ilmuan di dalamnya berusaha untuk menganalisis trend penularan wabak berkenaan.

Bertindak sebagai ahli politik sekali gus saintis, Chen menjadi pihak berkuasa awam yang banyak meluangkan masa untuk menganalisis trend penularan Covid-19 dan mengawasi pengembangan serta menguji usaha produksi vaksin.


Dalam kabinet Taiwan juga ada Menteri Digital, Audrey Tang, yang merupakan pemegang harta intelek Lembah Silikon dan berjaya membuka ruang untuk data kerajaan digembleng bersama penggodam sejak Dis 2019.

Tang menjadi menteri termuda di Taiwan apabila dibawa ke kabinet pada usia baru 35 tahun.

Dia mengagumkan dunia dengan kepemimpinannya dalam krisis menangani Covid-19 berikutan kesan yang dibuatnya di Jepun melalui aplikasi khusus memerangi virus dan menunjukkan tingkat persediaan topeng muka.

Itu adalah antara teladan yang sepatutnya dilihat Putrajaya. Jika Malaysia tiada pakar dalam kalangan kebanyakan ahli politik, bagaimana negara ini boleh diharapkan ditadbir dengan fakta, data dan sains yang digabungkan dengan kematangan cara berfikir?

Ketika kesabaran rakyat sudah berada di hujung tanduk, tidak banyak yang dapat dilakukan selain meluahkan kekecewaan di media sosial dengan tanda pagar #kerajaangagal.

Ia tidak merujuk kepada seorang dua individu sahaja tetapi menuntut tanggungjawab kepimpinan kerajaan secara kolektif.

Dalam keadaan begitu nampaknya kemunculan kabinet baru ini masih gagal membawa aspirasi rakyat. Apa yang rakyat nampak sekarang hanyalah pertukaran seorang nakhoda serta seorang dua kakitangannnya.

Bukan zaman TV hitam putih

Walaupun hadir dengan konsep Keluarga Malaysia dan janjinya untuk mendengar suara anak muda, suara Ismail Sabri itu malah tidak banyak berbeza daripada apa yang pernah dibawa Muhyiddin Yassin.

Keluarga Malaysia sepatutnya bukanlah sekadar kata-kata tapi pelaksanaan yang dinilai pada detik pertama kabinet itu diumumkan perdana menteri.

Misalnya sektor pendidikan yang sebelum ini begitu banyak mengundang rasa marah dan geram orang ramai. Tiba-tiba di bawah Ismail Sabri, dia mengekalkan teraju yang diletakkan oleh Muhyiddin sebelum ini.

Radzi Jidin adalah seorang ahli politik yang gagal mendapat sokongan di kawasannya untuk ke Dewan Rakyat namun diberikan ruang yang cukup terhormat oleh Muhyiddin dan kemudian diteruskan pula oleh Ismail Sabri.

Dalam kedudukannya sebagai menteri kanan Radzi masih terkapai-kapai memberi penjelasan mengenai isu pendidikan, termasuk pengagihan komputer riba, capaian internet yang lemah, vaksinasi pelajar dan jadual pembukaan persekolahan yang kadang-kadang sukar dibezakan di antara keputusan muktamad kementerian dengan lawak jenaka.

Sekarang bukan zaman radio yang menggunakan bateri kering atau TV hitam putih. Pada zaman yang kritikal ini, kesilapan polisi bukanlah satu pilihan yang boleh dipandang ringan.

Masalah pendidikan tanpa polisi dan strategi yang sistematik memberi impak amat besar kepada generasi yang bakal mewarisi negara. Di sekolahlah bermulanya langkah seseorang mencorakkan hidup. Apa yang dapat diharapkan daripada sektor pendidikan ketika ia terus berkembang - atau hanyut? - dengan pelbagai sekatan serta diburukkan pula oleh polisi yang bercelaru.

Rakyat bukan saja memerlukan pemimpin yang memastikan penampilan mereka mestilah segak di depan lensa kamera tetapi juga berfikiran kritis, memandang jauh ke depan dan tidak mudah gelabah.

Isu terus membelenggu

Itu belum lagi menyelam masalah keciciran pelajar pendidikan khas yang nampaknya hampir tidak dipedulikan langsung oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Memanglah sesekali perkataan "pendidikan khas" terpacul juga dari mulut menteri atau pegawai kanan kementerian.

Namun di alam realiti, ia berbeza. Mungkin pelantikan atau kenaikan pangkat pegawai kanan dalam kementerian jauh lebih penting berbanding hal anak kurang upaya mendapat pendidikan yang sempurna.

Dan ia tidak memerlukan tempoh 100 hari untuk ditambah baik.

Bagaimana pula dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang juga terus diketuai oleh orang yang sama? Dia adakan menteri yang mencadangkan agar aplikasi TikTok dimanfaatkan dalam kalangan penuntut pengajian tinggi.

Ia berlaku ketika banyak isu besar terus membelenggu siswa seperti latihan industri semasa pandemik yang belum menampakkan penyelesaian.

Turut menyedihkan, ada antara pelajar yang didiskriminasikan haknya dalam pemberian elaun oleh agensi kerajaan. Bagi agensi swasta pula, kerajaan hendaklah memikirkan desakan khas untuk membela ketidakadilan kerana ramai pelajar tersepit untuk membayar sewa rumah dan pengangkutan misalnya, ketika mereka menjalani latihan industri.

Namun isu berkenaan terus terabai dan harapan adalah sekadar air yang tercurah ke daun keladi. Itu belum dibangkitkan isu silibus pembelajaran, yuran pengajian, lambakan graduan menganggur dan hal-hal lain yang berkaitan.

Begitulah. Rakyat terus diperingatkan agar sentiasa menjaga adab apabila mengkritik. Betul, tetapi beradab itu bukanlah bererti kita harus menghilangkan kepedulian apabila ada orang ditindas.

Pada zaman pelbagai dusta dilambungkan ini, rakyat seakan semakin hilang harapan walaupun ia amat sederhana. Rakyat hanya mahukan pembelaan yang bijaksana dan orang politik pula diharap berhenti berlakon konon-konon berkongsi kesengsaraan rakyat.


SITI HAJAR HUSNA CHE HASSIN ialah graduan komunikasi massa dari dan kewartawanan UiTM Shah Alam sedang mengimpikan Malaysia yang lebih baik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS