Pembangkang menyifatkan barisan menteri yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini sebagai sebagai kabinet kerajaan gagal 2.0.
Timbalan Presiden parti Amanah, Salahuddin Ayub, berkata kabinet yang diumumkan Ismail Sabri menjurus kepada kelangsungan politik.
"Kerajaan gagal 2.0. Kabinet ini lebih menjurus political survival, bukan rakyat and economic survival. Lagu lama cuma iramanya digubah kambali. Orang putih kata old wine in a new bottle. Satu perubahan yang tiada pengakhiran.
"Dengan bilangan sebanyak 31 orang menteri, jika dicampur dengan timbalan menteri, hanya kurang satu sahaja daripada bilangan barisan kabinet kerajaan terdahulu.
"Sekali imbas saja, barisan menteri ini hanyalah sekadar reshuffle daripada senarai lama. Ada yang dikekalkan, yang bertukar portfolio malah ada yang sudah meletakkan jawatan dilantik kembali ke jawatan sama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pula mengkritik komposisi kabinet Ismail Sabri yang memaparkan majoriti muka-muka sama dengan kerajaan lama.
"Ini bukan kerajaan baru. Timbalan perdana menteri dahulu naik jadi perdana menteri dengan sokongan 114 orang-orang yang sama.
"Yang dibuat ialah kekal muka lama dan diberi portfolio baru dengan prestasi sebagai menteri sudah diketahui umum - gagal.
"PM akan dihantui persepsi bahawa dia memimpin kerajaan PN 2.0," kata Saifuddin Nasution ketika dihubungi.
Barisan kabinet baru ini dijadual akan mengangkat sumpah jawatan pada Isnin depan.
Tidak ada jawatan timbalan perdana menteri diwujudkan.
Bagaimanapun, Ismail Sabri mewujudkan jawatan empat "menteri kanan" seperti mana yang pernah dilakukan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin sebelum ini.
"Amat jelas PM terpaksa mengimbangi sokongan politik parti-parti dalam kerajaan dalam memilih barisan kabinet, bimbang sokongan kepada dirinya tergugat.
"Juga jelas bahawa PM tidak mengambil kira pendapat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) Umno dengan mengenepikan pimpinan utama seperti Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan dan Naib presiden Khaled Nordin," kata Saifuddin.
Hanya dua orang daripada kem Presiden Umno Zahid Hamidi - Dr Noraini Ahmad dan Noh Omar - dilantik dalam kabinet baru hari ini.
‘Kitar semula’
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berpendapat bahawa kabinet baru hari ini sebagai 'kitar semula'.
"Ini adalah kabinet kitar semula. Persepsi rakyat adalah pentadbiran baru. Tapi, tidak ada banyak perubahan," katanya kepada Malaysiakini.
Bekas menteri Sumber Manusia itu turut mendakwa bahawa Ismail Sabri melepaskan peluang keemasan membawa masuk pakar yang boleh mengendali pandemik.
"Kabinet sebelum ini semasa BN dan PH berbeza. Ketika itu, ketika itu kita tidak ada situasi pandemik.
"Tapi, sekarang Malaysia menderita dengan pandemik Covid-19. Kerajaan PN sebelum ini tidak ada pakar di kalangan menteri yang tahu cara menangani situasi pandemik ini.
"Ismail Sabri sepatutnya sedar situasi sekarang sangat berbeza. Dia seharusnya lantik seorang pakar bukan dari kalangan ahli politik untuk menguruskan pandemik Covid-19. Bukan dari kalangan sama yang ternyata gagal sebelum ini," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali berkata bahawa tidak ada kejutan besar dalam pengumuman kabinet baru hari ini.
"Dalam kata lain tidak ada kejutan besar dan ia pasukan lama," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Barisan kabinet hari ini menampilkan beberapa muka baru.
Selain Noh Omar, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu (Menteri Belia dan Sukan), Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid (Menteri Pembangunan Luar Bandar), Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim ( Menteri Wilayah Persekutuan) dan Idris Ahmad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).