Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pastikan si yatim kerana Covid dibesarkan keluarga, bukan institusi’
Diterbitkan:  Aug 26, 2021 1:19 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

Kanak-kanak yang menjadi yatim susulan ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 harus dipastikan terus dibesarkan dalam penjagaan keluarga dan bukannya institusi, kata Pemuda Umno.

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu memastikan perkara itu demi sokongan dan perkembangan optimal mereka.

“Oleh itu kerajaan harus mengenal pasti keluarga terdekat yang ada - abang atau kakak yang masih hidup yang bukan kanak-kanak lagi atau saudara mara terdekat mesti diutamakan sebagai penjaga dan diberi bantuan kewangan oleh kerajaan.

“Jika tidak ada ahli keluarga, kerajaan mesti mengusahakan keluarga pelihara/ foster care (bukan keluarga angkat) dan juga diberi bantuan kewangan.

“Orang yang layak dan sesuai. Boleh diperintah mahkamah mana-mana orang yang layak dan sesuai diberi jagaan sementara dan disahkan pengangkatan jika semua pihak sesuai antara satu sama lain,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia diminta mengulas mengenai statistik Kementerian Pendidikan (KPM) bahawa lebih 1,517 pelajar seluruh negara menjadi yatim susulan pandemik sejak Mac tahun lalu sehingga Ogos ini.

Seramai 1,517 pelajar di seluruh negara kematian salah seorang ibu bapa atau kedua-duanya sekali akibat virus Covid-19.

Kementerian Pendidikan dilapor menubuhkan pasukan khas kebajikan, antaranya bagi bantuan makanan dan wang ringgit disalut segera disalurkan kepada golongan terbabit.

Menteri KPWKM sebelum ini Rina Harum berkata kanak-kanak yang memerlukan perlindungan akibat kematian ibu bapa akibat Covid-19 akan ditempatkan di tujuh institusi mengikut zon seluruh negara.

Institusi itu adalah Rumah Kanak-Kanak (RKK) Pokok Sena, Taman Sinar Puteri (TSP) Batu Gajah, Melaka, TSP Cheras, Rumah Budak Lelaki (RBL) Melaka, RKK Mini Kelantan, TSP Kota Kinabalu dan TSP Kuching sebagai penempatan sementara atau tetap.

Bagaimanapun, ketika itu kes cuma 33 kanak-kanak di seluruh negara dikenal pasti menjadi yatim piatu susulan Covid-19.

Sementara itu, Asyraf berkata, mereka yang menjadi yatim atau yatim piatu serta-merta ini juga memerlukan sokongan emosi secara profesional yang berterusan.

“Maka kesemua kanak-kanak ini mesti berada di bawah pemantauan KPWKM sehingga mereka mencapai 18 tahun, atau dikira sudah tidak lagi mengalami trauma emosi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS