Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada hari Sabtu 21 Ogos, Ismail Sabri Yaakob (Bera) mengangkat sumpah di Istana Negara. Acara itu akhirnya menamatkan teka-teki siapakah perdana menteri yang kesembilan.

Yang menariknya pada 18 Ogos, dalam pertemuan dengan ketua-ketua parti politik, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menitahkan beberapa perkara yang mustahak.

Antaranya perdana menteri yang dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan undi percaya bagi menentukan keabsahan jawatan beliau itu di Dewan Rakyat.

Apa yang ditekankan oleh YDPA ada asasnya. Ini disebabkan salah satu kemelut yang melanda pentadbiran Muhyidin Yasin adalah persoalan sama ada kerajaan pimpinan beliau memiliki majoriti dalam Dewan Rakyat?

Ada tidaknya majoriti itu pula akan berkait dengan keabsahan sesebuah kerajaan yang memerintah. Kerajaan yang tiada keabsahan tidak boleh menasihati YDPA dalam sebarang urusan badan eksekutif, melakukan pelantikan sektor awam atau membelanjakan wang negara.

Seorang sarjana Jerman bernama Max Weber menyatakan bahawa keabsahan berlaku apabila sesebuah pihak berautoriti (legitimate authority) melaksanakan kekuasaannya dan ia diterima dalam satu masyarakat tertentu. Pihak yang menjalankan kekuasaan tersebut pula memiliki prestij yang tersendiri.

Weber turut menjelaskan bahawa terdapat tiga punca utama keabsahan sesebuah pemerintahan iaitu:

(i) Tradisi – keabsahan diterima kerana pemerintah sudah sekian lama bertapak dan menjalankan kuasanya sejak dahulu lagi;

|(ii) karisma pemerintah – golongan yang diperintah menerima kekuasaan atas sebab kehebatan batang tubuh pemerintah;

(iii) sah di sisi undang-undang – golongan yang diperintah menerima kekuasaan golongan pemerintah kerana segala syarat undang-undang bagi menjadi pemerintah telah dipenuhi.

David Beetham seorang sarjana sains politik pula menyenaraikan keabsahan memiliki tiga elemen utama.

Yang pertama, ia hendaklah sah di sisi undang-undang. Elemen kedua ia hendaklah ada justifikasi moral manakala elemen yang ketiga ialah keabsahan itu ada persetujuan. Ringkasnya, intipati kepada keabsahan ialah merujuk kepada penerimaan kekuasaan pemerintah secara menyeluruh.

Pengganti nabi

Perkara ini juga dapat diperhatikan dalam konteks sejarah Islam terutamanya pada zaman awal Khulafa’ al-Rasyidin. Apabila nama Saidina Abu Bakar al-Siddiq dicadangkan untuk menjadi pengganti Nabi Muhammad SAW, para sahabat yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar sepakat menerima pencalonan tersebut.

Mereka memberikan baiah kepada Saidina Abu Bakar dalam majlis di sebuah tempat dalam kota Madinah bernama Saqifah Bani Sa’idah.

Apabila Saidina Abu Bakar al-Siddiq hampir wafat, beliau telah menetapkan agar Saidina Umar bin Al-Khattab dilantik sebagai pengganti. Keputusan Saidina Abu Bakar al-Siddiq ini dipersetujui oleh sahabat-sahabat. Baiah kemudiannya diberikan kepada Saidina Umar bin Al-Khattab apabila khalifah telah wafat. 

Jelas bahawa keabsahan dalam konteks tradisi pemerintahan Islam ditandakan dengan proses baiah oleh sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW serta penduduk Madinah.

Negara kita mengamalkan pemerintahan demokrasi berparlimen gaya Westminster. Justeru terdapat konvensyen atau adat kebiasaan yang diamalkan di parlimen United Kingdom turut terpakai di negara kita.

Ini termasuklah undi percaya dan undi tidak percaya. Undi percaya lazimnya diusulkan oleh pihak kerajaan manakala undi tidak percaya pula biasanya diusulkan oleh pihak pembangkang. Bagaimanapun makalah ini lebih menumpukan kepada undi percaya.

Terdapat dua objektif utama undi percaya. Yang pertama ialah ia boleh digunakan bagi menentukan sama ada kerajaan yang memerintah mempunyai atau hilang sokongan ahli parlimen, sekali gus menjadi lambang keabsahan kerajaan tersebut.

Yang kedua ialah ahli parlimen dapat menjadikan kerajaan yang memerintah bertanggungjawab terhadap pencapaian mereka.

Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap majlis Parlimen diberikan kuasa untuk mengawal selia tatacaranya sendiri. Ia bagaimanapun tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR) pula tidak menerangkan secara jelas berhubung dengan usul undi percaya dan usul undi tidak percaya dalam Dewan. Jika ada usul sebegitu dibuat, ia dianggap satu usul persendirian menurut Peraturan Mesyuarat 27(3).

Oleh sebab itu, sebarang usul persendirian hanya boleh dilakukan apabila usul kerajaan selesai dibahas serta mendapat keizinan Yang Dipertua Dewan Rakyat, menurut Peraturan Mesyuarat 14(1) dan 15(1). Bagaimanapun usul persendirian boleh dibahas lebih awal jika seorang menteri berkehendak sedemikian. Ini boleh dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 14(2).

Dari Tun Hussein Onn hingga Pak Lah

Sebenarnya usul undi percaya ini bukanlah sesuatu yang asing dalam amalan di parlimen kita. Apabila Tun Hussein Onn dilantik sebagai perdana menteri yang ketiga, satu usul undi percaya diluluskan di Dewan Rakyat pada 27 Januari 1976.

Perkara yang sama juga turut dibuat pada 3 November 2003 apabila Abdullah Ahmad Badawi mula berkhidmat sebagai perdana menteri yang kelima. Hansard Dewan Rakyat merakamkan kedua-dua peristiwa ini.

Hussein Onn dan Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri ketiga dan kelima setelah diperkenankan dan dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Usul Undi Percaya yang dibuat di Dewan Rakyat selepas kedua-duanya dilantik sebagai perdana menteri bukanlah bertujuan untuk mengesahkan pelantikan mereka oleh YDPA.

Apabila usul tersebut dibuat dan diluluskan oleh Dewan, ia melambangkan penerimaan rakyat kepada kerajaan yang memerintah. Keberadaan wakil-wakil rakyat dalam parlimen itu sendiri ialah manifestasi kehendak rakyat banyak, sekali gus memberikan keabsahan kepada kerajaan.

Itulah juga sebabnya titah YDPA pada 18 Ogos 2021 menghendaki perdana menteri mengemukakan undi percaya secepat mungkin. Ternyata dalam proses pelantikan perdana menteri kesembilan baru-baru ini, YDPA sebagai ketua negara telah menjalankan tugas dengan cermat dan telus. Baginda sangat faham tentang kedudukan dan peranan baginda sebagai raja berperlembagaan.

Jika ada pandangan yang mengatakan bahawa undi percaya itu mengusik kuasa budi bicara, merendah-rendahkan atau menggugat wibawa baginda sebagai ketua negara, maka dengan hormat – pandangan itu tidak tepat. Bahkan dapat dihujahkan bahawa apa yang dititahkan oleh baginda sebetulnya amat selari dengan prinsip undang-undang perlembagaan.

Sekalipun usul undi percaya ini tidak dinyatakan secara tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan, pada hemat saya ia merupakan satu perkara yang amat mustahak.

Perlembagaan ialah satu dokumen yang bersifat umum dan menyeluruh. Justeru, tidak semua perkara dimasukkan dengan terperinci dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kadangkala dalam memahami dan menggunapakai peruntukan perlembagaan, ada perkara lain seperti konvensyen dan adat perlembagaan yang perlu dibaca bersama dengannya. Dalam kes ini amalan parlimen seperti undi percaya hendaklah diambil kira. Pada hakikatnya, jika usul itu dibuat tentulah kedudukan kerajaan bertambah kukuh.

Perlembagaan bukanlah seperti akta dan enakmen biasa yang mesti ditafsir secara harfiah atau pendekatan sempit. Saya memetik kata-kata Sultan Azlan Shah (ketika baginda bertugas sebagai hakim Mahkamah Persekutuan) dalam kes Dato Menteri Othman Baginda & Anor lwn Datuk Ombi Syed Alwi Syed Idrus (1981):

“..a constitution, being a living piece of legislation, its provisions must be construed broadly and not in a pedantic way.”

Penambahbaikan amat diperlukan bagi memperkasa parlimen kita sebagai badan perundangan yang berwibawa. Telah dinyatakan sebelum ini bahawa undi percaya dan undi tidak percaya tidak dimaktubkan dengan jelas dalam PMDR.

Untuk itu, amalan baik yang ada di negara Komanwel boleh dijadikan panduan. Dalam konvensyen perlembagaan United Kingdom contohnya, usul undi percaya atau usul undi tidak percaya diberi keutamaan untuk dibahas dalam Dewan.

Manakala parlimen India pula misalnya memiliki tatacara khas untuk usul undi percaya atau usul undi tidak percaya dalam Peraturan Mesyuarat Lok Sabha (Dewan Perwakilan yang fungsinya sama seperti Dewan Rakyat di negara kita). Sewajarnya hal ini diperuntukkan dengan terang dalam PMDR.

Pandangan Ronald Dworkin seorang sarjana undang-undang perlembagaan dari Amerika Syarikat wajar kita renungkan. Beliau menyatakan bahawa peruntukan sesebuah perlembagaan hendaklah dipandang secara holistik iaitu mengambil kira keseluruhan skema perlembagaan yang tersurat; serta perkara yang tersirat seperti doktrin undang-undang perlembagaan, konvensyen, adat perlembagaan dan prinsip moral.

Tuntasnya, lantikan perdana menteri oleh YDPA mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah sah dan teratur. Kesahan (legality) pelantikan tersebut sebenarnya bukanlah isu pokok. Undi percaya (jika dijalankan) dapat memberi keabsahan (legitimacy) kepada kerajaan yang memerintah. Sekali gus ia menurut kehendak dan roh undang-undang perlembagaan.

Tentulah kita sebagai rakyat mahukan kerajaan yang cekap, stabil, dan mempunyai prioriti yang jelas - iaitu memberikan perkhidmatan terbaik. Tiada siapa yang mahu melihat kembali babak ‘scheme of things’ berulang bagi mendapatkan sebuah kesetiaan. Seluruh negara menjadi saksi betapa ia hanya mampu bertahan selama 17 bulan.


DR NIZAMUDDIN ALIAS berkhidmat sebagai pensyarah kanan, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS