Nota editor: Nama dan beberapa maklumat yang dapat mendedahkan identiti telah diubah bagi melindungi keselamatan pihak terlibat.
Sudah 11 hari berlalu sejak Taliban memasuki Kabul, ibu kota Afghanistan. Di situlah tempat tinggal keluarga Wahed.
Adik-adik perempuannya di rumah sudah berfikir-fikir untuk membunuh diri, sebagai jalan keluar daripada mimpi ngeri yang menanti mereka.
Hidup sebagai pelarian jauh di Malaysia, Wahed merasakan tiada upaya untuknya berbuat apa-apa, tetapi dia tetap mahu melakukan sesuatu setelah melihat rentetan peristiwa yang berlaku di tanah airnya.
Tidurnya tidak lena. Hampir setiap masa dia memikirkan jalan untuk membawa keluarganya keluar daripada negara itu.
Terus kekal di Afghanistan bukanlah satu pilihan. Mereka orang Hazara, suku etnik ketiga terbesar negara tersebut dan sering menjadi sasaran Taliban.
Pilihan yang ada buat keluarga Wahed cuma dua - tinggalkan Afghanistan sekarang, atau membunuh diri sebelum menjadi mangsa Taliban.
“Saya tanya mak dan adik-adik perempuan saya apa yang akan mereka lakukan jika Taliban datang.
“Kedua-dua adik perempuan saya kata, mereka tak akan biar Taliban masuk ke rumah mereka, menggeledah rumah atau menyentuh tubuh mereka.
“Sebelum Taliban datang, mereka kata mereka akan racun diri sendiri dan membunuh diri. Mereka akan bunuh diri sebelum Taliban serang rumah mereka,” kata Wahed dalam temu bual dengan Malaysiakini baru-baru ini.
Wahed tidak menghalang niat itu selepas mendengar apa yang dikatakan adik-adiknya.
Dengan keadaan yang terdesak sebegitu, dia bahkan setuju bahawa mungkin itulah satu-satunya “jalan terbaik” andai keluarganya tidak sempat melarikan diri.
Semasa temu bual, mata Wahed bersinar ketika berulang kali memuji kebijaksanaan dua adik perempuannya yang pintar teknologi dan bercita-cita tinggi.
Seorang sudah pun di universiti, sementara seorang lagi sedang belajar untuk diterima masuk ke universiti.
Hatinya luluh selepas mendengar bahawa mereka kini berharap untuk mati sahaja, atau tidak dilahirkan sebagai perempuan.
Wahed kesal bagaimana kemaraan Taliban bukan sahaja meranapkan impian adik-adik perempuannya, tetapi juga impian ribuan lagi warga Afghanistan.
“Ini seperti mimpi hitam buat setiap warga Afghan.
“Taliban ibarat mimpi hitam. Mimpi hitam yang saya harap cepat berakhir,” katanya.
Perjalanan ke sekolah diganggu letupan
Ketika dia membesar, bunyi letupan sentiasa mengganggu perjalanan pendidikan Wahed.
Kadang-kala, letupan itu berlaku beberapa kali seminggu.
Dia teringat perjalanan 40 minit yang ditempuhinya untuk ke sekolah, yang disifatkannya sebagai laluan yang penuh bahaya, tetapi dalam masa yang sama juga penuh dengan harapan.
“Selepas setiap letupan, keluarga kami akan cakap, ‘okey, tak payah lagi ke sekolah, bahaya’.
“Tapi selepas seminggu, kami bosan duduk di rumah, rasa putus asa, kami pun kata ‘apa-apa pun terjadi, kami nak juga belajar’. Kemudian kami akan pergi ke sekolah lagi.
“Tetapi kemudian berlaku satu lagi letupan, dan keluarga akan minta kami berhenti belajar,” imbaunya.
Dengan pengalaman sebegitu, Afghanistan dalam ingatan Wahed hanyalah sebuah negara yang terperangkap dalam perang.
Ramai sanak saudaranya telah dibunuh Taliban sejak lewat 1990-an ketika kumpulan itu menguasai hampir keseluruhan negara tersebut.
Bagaimanapun, selepas 20 tahun pemerintahan awam yang disokong Amerika Syarikat (AS), dia mula melihat kumpulan Taliban sebagai ancaman yang sudah berlalu.
Sehinggalah berita Taliban memasuki Kabul pada 15 Ogos lalu.
“Afghanistan (dahulu) sentiasa dalam perang. Saya sangkakan kali ini pun seperti itu juga. Saya sangkakan mereka tak akan masuk ke Kabul, hanya di kampung-kampung sahaja.
“Tapi, tiba-tiba, mereka takluk semakin banyak daerah. Susah nak percaya apabila saya baca berita yang mereka sudah ambil alih kota Kabul,” kata Wahed.
Kemaraan pantas Taliban itu berlaku apabila AS membawa keluar tenteranya daripada negara itu sebelum tarikh akhir 31 Ogos.
Bersikap baiklah terhadap pelarian
Ketika negaranya porak peranda, Wahed hanya mampu membaca, menonton, dan berdoa dari pangsapuri yang didiaminya di Malaysia.
Dia mengimpikan sebuah dunia yang mengenali Afghanistan bukan kerana ekstremisme tetapi dengan bukit-bukau yang kaya dengan buah ceri, aprikot dan delima; latar semula jadi memukau yang berubah warna seiring perubahan musim, serta keramahan dan sikap murah hati orang-orangnya.
Inilah Afghanistan yang "indah", yang kata Wahed, terselindung di sebalik tajuk-tajuk berita tragik.
Mengapa dia ingin berkongsi kisahnya dengan warga Malaysia?
Menurut Wahed, dia berharap ceritanya dapat memberi gambaran dan seterusnya mengubah fikiran kalangan yang menunjukkan sokongan kepada Taliban.
Pada masa lalu, kumpulan itu mengenakan sekatan yang keras buat wanita, menghalang mereka daripada belajar, bekerja, memandu, mengenakan mekap mahupun meninggalkan rumah tanpa ditemani ahli keluarga lelaki.
Gadis di awal usia remaja dianggap sebagai sudah patut berkahwin.
“Buat mereka yang mengucapkan tahniah buat Taliban, saya harap mereka tahu bagaimana mereka (Taliban) memukul wanita.
“Bayangkan jika ini terjadi kepada keluarga anda sendiri, barulah anda akan tahu betapa bahayanya (apa yang dihadapi),” katanya.
Selepas penaklukan minggu lalu, jurucakap Taliban berkata wanita akan dibenarkan untuk bekerja dan belajar dan dijangka "memainkan peranan sangat aktif dalam masyarakat, tetapi dalam rangka yang dibenarkan Islam.
Ikrar itu bagaimanapun disambut dengan skeptik selepas pegawai bank wanita dipaksa meninggalkan kerja mereka.
Wahed turut berharap rakyat Malaysia akan cuba untuk lebih memahami pelarian.
“Bayangkan sepanjang usia membesar di sebuah rumah, di tanah air sendiri. Tetapi tiba-tiba anda terpaksa lari, hanya membawa bersama pakaian saja kerana keadaan yang buruk.
“Tak ada orang yang mahukan ini. Tak ada orang yang mahu terpaksa melarikan diri (dari tanah air),” katanya.
Wahed turut berharap pelarian di Malaysia dapat dilayan dengan kebaikan.
Katanya, dia selalu jarang berdepan layanan buruk kerana kulitnya yang cerah, tidak seperti pelarian lain yang berkulit gelap.
“Di mana kita lahir, apa bangsa kita, apa agama kelahiran kita, atau siapa keluarga kita - itu semua bukan berada dalam kawalan kita.
“Bersikaplah baik antara satu sama lain,” pintanya.
Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), terdapat seramai 179,450 pelarian yang mencari suaka di Malaysia yang berdaftar dengannya, setakat Julai 2021.
Daripada jumlah ini, 2,610 daripada mereka adalah warga Afghanistan.