Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Mesyuarat bersama PH bagi tangani isu Covid-19, ekonomi - PM
Diterbitkan:  Aug 25, 2021 5:19 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub dalam satu kenyataan bersama pemimpin Pakatan Harapan memberi jaminan akan mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis penularan wabak Covid-19 dan ekonomi negara.

“Pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam ini, tertumpu menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan," kata mereka.

Selain agenda kepentingan rakyat, pertemuan itu juga mencari persetujuan bersama bagi memperkasa fungsi Parlimen Malaysia.

Mereka bersetuju bahawa Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif dijadikan supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

“Kami juga bersetuju memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks ‘keluarga Malaysia’,” kata mereka.

Selain Ismail Sabri, kenyaaan bersama itu ditandatangai oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Petang tadi, ketiga-tiga pemimpin kanan PH itu menyertai pertemuan yang dibuat atas jemputan Pejabat Perdana Menteri.

Mesuarat hari ini diadakan susulan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya ahli parlimen dan pemimpin politik meredakan suhu politik dalam negara.

"Saya telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang bagi merealisasikan titah hasrat Baginda Tuanku,” kata Ismail Sabri.

Seri Paduka sebelum ini turut menzahirkan pandangan supaya ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati serta berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah supaya mereka memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS