Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kebebasan badan kehakiman tercalar ketika ahli politik berkelahi

Setelah meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, Muhyiddin Yassin sekali lagi mengatakan bahawa musuh-musuh politiknya dalam Umno tidak berpuas hati kerana dia enggan campur tangan dalam kes mahkamah membabitkan mereka.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, presiden Bersatu itu berkata dia tidak akan mengorbankan prinsip dan mengambil jalan mudah.

Muhyiddin menegaskan dia tidak akan sesekali bersekongkol dengan kumpulan 'kleptokrat', mengganggu kebebasan badan kehakiman atau membelakangkan Perlembagaan Persekutuan hanya untuk kekal berkuasa.

Para pemerhati berkata meskipun Muhyiddin patut dipuji atas pendiriannya itu, dia bagaimanapun telah mencemarkan kebebasan badan kehakiman dengan menggambarkan pihak eksekutif boleh mengubah keputusan mahkamah demi tujuan politik.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mendakwa Najib Razak pernah meminta Muhyiddin menyingkirkan hakim dalam perbicaraan rayuan kes rasuah membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Najib, yang menafikan tuduhan itu mendakwa dia telah memulakan saman fitnah terhadap Muhyiddin dan Wan Saiful serta memfailkan permohonan menghina mahkamah ke atas mereka.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara, Idrus Harun masing-masing belum memberikan komen mengenai isu itu.

Pada Feb tahun ini, Mahkamah Persekutuan mendapati Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen pembacanya dalam artikel bertarikh 9 Jun 2020, yang diterbitkan sehari selepas bekas ketua Menteri Sabah, Musa Aman dilepas dan dibebaskan atas semua 46 tuduhan jenayah.

Malaysiakini dikenakan denda sebanyak RM500,000.

Dalam permohonannya untuk memulakan prosiding komital terhadap Malaysiakini, Idris berkata komen tersebut menggugat keyakinan awam terhadap badan kehakiman.

Muhyiddin mesti jelaskan

Menurut bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, kenyataan Muhyiddin juga mempunyai kesan yang serupa dan mesti diperjelaskan.

"Detik hitam dalam pentadbiran Muhyiddin adalah pengakuannya bahawa dia boleh memberitahu mahkamah apa yang harus dilakukan untuk memuaskan tuntutan mereka yang digelar 'kluster mahkamah'.

"Walaupun dia tidak tunduk pada tuntutan itu, fakta bahawa dia merasa yang dia boleh berbuat demikian demi menyelamatkan pentadbirannya adalah jelas menghina mahkamah," katanya kepada Malaysiakini.

Zaid berkata, bekas perdana menteri itu sepatutnya melaporkan perkara itu kepada polis kerana tuntutan tersebut merupakan suatu kesalahan.

"Demi badan kehakiman kita, saya desak Muhyiddin untuk menjelaskan kenyataannya.

"Sebaiknya dia menegaskan bahawa tidak ada perdana menteri di negara kita yang berani mempengaruhi badan kehakiman dan kehakiman kita tidak boleh dipersoalkan," tambahnya.

Sementara itu, seorang pakar undang-undang veteran yang tidak mahu disebutkan namanya, berkata kenyataan Muhyiddin telah 'membuka kotak Pandora'.

"Apakah dia mengesahkan kecurigaan sekian lama?"

"Jika benar, berapa banyak pendahulunya yang melakukan hal yang sama?"soalnya.

Pada feb 2019, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengumumkan cadangan untuk membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku hakim dalam afidavit oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer.

Namun, hal itu mendapat bantahan pelbagai pihak. 

Bekas ketua menteri, Sabah Yong Teck Lee kemudian memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar penubuhan RCI yang dicadangkan.

Pada Jun tahun itu, Mahathir berkata oleh kerana tuduhan itu bersifat umum, seluruh badan kehakiman tertakluk kepada RCI berkenaan dan ini akan mempengaruhi perbicaraan kes-kes penting.

Mahathir sendiri didakwa menggunakan mahkamah untuk memenjarakan musuh politiknya ketika menjadi perdana menteri, terutama dalam kes melibatkan timbalannya yang disingkirkan, Anwar Ibrahim.

Seperti kes liwat pertama, Anwar juga mendakwa sabitan kes liwat kedua terhadapnya ketika pentadbiran Najib dibuat berdasarkan tuduhan palsu.

Hamid, dalam afidavit 65 halaman mendakwa antara lain ada campur tangan dalam kes liwat Anwar dan keputusan rayuan membabitkan Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh.

Dalam memoirnya, bekas Peguam Negara Tommy Thomas berkata Mahathir memberitahunya bahawa maklum balas yang diterima mendedahkan RCI tidak disambut baik oleh para hakim, baik yang sedang berkhidmat dan yang telah bersara.

Pada 4 Februari tahun ini, Jawatankuasa Etika Hakim memutuskan untuk menggantung Hamid sehingga 27 Ogos. 

Dia merupakan hakim pertama yang digantung sejak Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 dikuatkuasakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS