Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan membuka stesen kuarantin (QS) pertama bagi menempatkan keluarga Orang Asli yang positif Covid-19 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, dekat Gua Musang.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim memberitahu, QS tersebut akan mula beroperasi esok.

"Untuk permulaan lapan keluarga dari kawasan Pos Blau di kawasan Tanah Tinggi Lojing akan ditempatkan di QS itu.

"QS itu mampu memuatkan seramai 300 pesakit yang positif dan tumpuan akan diberikan kepada keluarga Orang Asli suku Temiar di kawasan sekitar," katanya ketika ditemui media selepas Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Tambahnya, stesen itu dibuka bagi memastikan Covid-19 tidak menular dan merebak ke kawasan lain di Gua Musang memandangkan jangkitan melibatkan Orang Asli semakin membimbangkan.

"Ini kerana pada masa ini, ada enam kampung yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.

Tambah Mohd Syahbuddin, berdasarkan kes sebelum ini, walaupun kampung mereka dilaksanakan PKPD, namun pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) agak longgar, kerana tiada penguatkuasaan di lokasi.

Sehingga kini jelasnya, seramai 400 masyarakat orang asli di kawasan Lojing positif Covid-19 dan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS