Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSB tolak sertai PH kerana mahu kekal bebas untuk Sarawak
Diterbitkan:  Aug 24, 2021 10:06 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Parti Bersatu Sarawak (PSB) berkata parti itu tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dan akan terus kekal sebagai parti bebas.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden PSB Wong Soon Koh berkata parti itu hanya menyokong usaha Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, dalam usaha mendapatkan sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri atas prinsip menghormati kehendak pengundi semasa PRU ke-14.

“Sehingga kehendak rakyat berubah dalam pilihan raya akan datang, PSB akan terus menyokong parti-parti yang dipilih oleh rakyat pada PRU ke-14.

"Bagaimanapun, PSB tidak akan mengadakan pakatan dengan mana-mana pihak kerana kami berhasrat untuk kekal sebagai parti Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum yang akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa atau agama," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan krisis politik terbaru yang menyaksikan Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri. Ia kemudian memberi laluan kepada Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, mengumpulkan sokongan 114 ahli parlimen bagi menggantikan presiden Bersatu itu.

Anwar pula mendapat dukungan 105 ahli parlimen pembangkang dan bebas.

Semalam Majlis Presiden PH berkata mereka kini menumpukan usaha memperkukuhkan kerjasama dalam gabungan tersebut dan pada masa sama cuba menyatukan pembangkang di bawah konsep "khemah besar".

Beberapa ahli politik PH pula mendesak kepimpinannya untuk mengundang parti lain secara rasmi agar mereka boleh bersama dengan PH.

"Walaupun PH dan parti pembangkang berjaya mencalonkan Anwar sebagai satu-satunya calon perdana menteri kesembilan, jumlah 105 sokongan (anggota Parlimen) yang dia miliki masih belum mencukupi.

“PH perlu mengekalkan dan memperkuat sokongan yang diperolehnya daripada parti pembangkang yang lain.

“Dalam hal ini, kami mengesyorkan agar PH segera membuat jemputan rasmi kepada semua parti pembangkang yang terdiri dari Warisan, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan PSB untuk bergabung dengan PH," kata Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) dan Senator Raj Munni Sabu dalam kenyataan bersama awal hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS