Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Tebainya lumpoq ni’
Diterbitkan:  Aug 24, 2021 4:00 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Di samping rintihan mangsa, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor turut tersentuh dengan pengalaman sukarelawan yang berkorban masa dan tenaga bagi membantu membersihkan rumah terjejas.

Kata Sanusi, cerita setiap mangsa tragedi yang disampaikan kepadanya membuatkan dia sayu dan sebak.

Cerita sukarelawan pula membuatkan dia memanjatkan rasa terima kasih, bahkan berpesan agar sukarelawan turut berhati-hati ketika membantu mangsa.

Malah, kongsi Sanusi, ada sukaralewan yang sanggup datang ke utara dari selatan tanah air bagi menabur bakti.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Nak cuci selut yang masuk ke dalam rumah pun berat juga,” katanya merujuk pada pengalaman sukarelawan yang berhempas pulas mengerah kudrat untuk membersihkan rumah yang dimasuki lumpur dan selut tebal.

“Ada rakan kami begitu bersemangat nak pergi bantu cuci (rumah mangsa). Sasaran tiga buah rumah nak cuci untuk hari itu. Habis serumah, terus terduduk. Serumah tu pun, dapur saja (yang sempat dicuci).

“Nak ceritanya, keleboq tebai (selut tebal) masuk dalam rumah. Berat nak angkut. Terima kasih kepada semua bantu penduduk. Ada yang datang dari Johor untuk bantu. Terima kasih.

“ ‘Tebainya lumpoq (lumpur) ni’, kata depa.

“Saya pun pesan, ‘elok-elok jalan kat kelebur (selut) ni... takut tertumus (tersembam),” kongsinya di Facebook.

Dia turut berkongsi beberapa keping gambar, dipercayai lawatannya ke rumah mangsa banjir yang kelihatan punah teruk.

 “Terima kasih sekali lagi kepada yang membantu. Allah sayang semua

“Pastikan yang datang membantu, telah dua minggu selesai dua dos suntikan vaksin,” titipnya memperingatkan.

Banjir yang disebabkan kepala air pada 18 Ogos lalu menyebabkan kira-kira 1,000 rumah terjejas di Yan dan Kuala Muda, Kedah.

Kejadian itu mengundang simpati seluruh negara apabila klip fenomena kepala air itu sempat dirakam beberapa mangsa semasa kejadian lalu tular di media sosial sejak hampir seminggu lalu.

Setakat ini, bencana itu telah meragut enam nyawa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS