Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid tak boleh hadiri perbicaraan, masuk hospital akibat sakit belakang
Diterbitkan:  Aug 24, 2021 2:59 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh menghadiri perbicaraan kes rasuahnya yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi setelah dimasukkan di hospital kerana sakit belakang.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan hakim Collin Lawrence Sequerah, surat daripada pakar hospital menyatakan anak guamnya mengalami kecederaan akibat terjatuh.

"Kami ada surat bertarikh 23 Ogos 2021 yang menjelaskan kepada yang arif sebab tertuduh tidak dapat hadir.

“Surat itu juga menyatakan bahawa kerana sakit belakang yang teruk itu, beliau (Ahmad Zahid) tidak boleh duduk lama. Beliau dimasukkan ke hospital swasta di Shah Alam pada Ahad lepas (22 Ogos),” kata peguam itu.

Hisham berkata Ahmad Zahid dijadualkan menjalani prosedur perubatan pada jam 8 pagi hari ini.

"Bagi pihak pembelaan, kami sedia untuk meneruskan perbicaraan. Kami tidak mahu dikatakan melengahkan kes ini," katanya.

Mahkamah sepatutnya mendengar penghujahan pada akhir kes pendakwaan oleh kedua-dua pihak hari ini.

Timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah pihak pendakwaan sudah bersedia untuk berhujah kerana kes itu telah ditangguhkan beberapa kali.

"Kami menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada kes ini dapat dijalankan secara dalam talian atau diteruskan tanpa kehadiran tertuduh.

"Perkara itu penting untuk dipertimbangkan, kami tidak mahu mahkamah dilihat menafikan haknya untuk didengar,” katanya.

Pada 19 Mac, pihak pendakwaan menutup kesnya setelah memanggil 99 saksi.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan - 12 atas membabitkan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram - melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS