Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Keputusan henti libatkan klinik swasta dalam program vaksinasi tak adil'

Beberapa klinik swasta hari ini menggesa kerajaan persekutuan untuk mempertimbangkan semula keputusan menghentikan vaksinasi di klinik swasta.

Ini selepas Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) memberi arahan kepada 741 klinik swasta menghentikan vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

"Kami berasa keputusan menghentikan vaksinasi di klinik swasta adalah tidak adil. Sekiranya, negara kita meletakkan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin, kemudian mereka perlu saksama kepada semua pihak.

"Klinik swasta adalah salah satu penyumbang terbesar dalam kejayaan Malaysia mencatat vaksinasi harian tertinggi. Keputusan menghentikan perkhidmatan klinik swasta dalam program vaksinasi sangat mengecewakan.

"Tiada alasan untuk CITF menamatkan perkhidmatan klinik swasta," kata pengasas Kumpulan SP Care Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas arahan CITF menghentikan program vaksinasi di 741 klinik swasta dan hospital swasta dan klinik bergerak di Selangor.

Arahan membatalkan janji temu itu berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, keputusan CITF itu tidak disenangi oleh banyak pihak termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Noor Hisham dilaporkan berkata keputusan untuk menghentikan vaksinasi di klinik swasta bertentangan dengan nasihat diberikannya. 

Sementara Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy mempersoalkan mengapa doktor swasta digugurkan daripada Pick walaupun mereka memperoleh vaksin Covid-19 daripada pasaran swasta.

Vaksin adalah penjagaan kesihatan primer

Dr Prakash berkata bahawa banyak klinik kini mengalami kerugian kerana keputusan tergesa-gesa oleh CITF.

"Di peringkat awal, sebanyak 741 klinik swasta mengambil bahagian dalam program ini. Selepas itu, setahu saya hampir 2,000 klinik mendaftar untuk menyertainya.

"Sebuah klinik swasta perlu membelanja sekurang-kurangnya RM5,000 hingga RM10,000 sebagai persediaan pusat vaksinasi. Setelah bersiap sedia untuk program ini, mereka dikejutkan dengan keputusan CITF," katanya.

Dia menambah bahawa dia sendiri membelanjakan lebih RM60,000 sebagai penyediaan sembilan klinik pembelian peti sejuk untuk simpan botol vaksin dan data logger bagi memeriksa suhu botol vaksin.

"Keuntungan itu tidak penting. Kebanyakan klinik termasuk saya menyertai program Pick atas dasar CSR (tanggungjawab sosial korporat). 

"Tapi, sekurang-kurangnya jangan merugikan klinik swasta. Saya bagi pihak semua klinik swasta di Malaysia meminta kerajaan agar mempertimbangkan semula keputusan CITF itu," katanya.

Sementara itu, Dr Harry Dinesh Mahalingam, dari Rawang berkata bahawa keputusan CITF itu sebagai tidak masuk akal.

Dr Harry Dinesh Mahalingam

"Logiknya sangat mudah. Klinik swasta adalah penjagaan kesihatan primer (primary health care). Begitu juga vaksin. Jadi, klinik swasta sepatutnya diberi keutamaan program PICK. Bukan pusat pemberian vaksin (PPV) mega.

"Kadar penularan Covid-19 di mega PPV lebih tinggi berbanding di klinik swasta. Sehingga kini tidak ada kluster klinik swasta.

"Satu lagi, untuk mendapat di vaksinasi anda perlu menunggu empat hingga lima jam. Sementara, hanya memerlukan 30 minit di klinik swasta," katanya.

Klinik swasta pilihan bagi vaksinasi kawasan luar bandar

Sambil berkongsi pandangan yang sama, Dr Abdul Rashid Abdul Majeed berpendapat bahawa klinik swasta adalah pilihan terbaik untuk vaksinasi di kawasan luar bandar.

Dr Abdul Rashid Abdul Majeed

"Di kawasan luar bandar kita ada klinik kesihatan. Tapi, berapa banyak boleh dijadikan sebagai PPV. Berapa PPV mega kita boleh menyediakan di kawasan luar bandar?

"Tapi, kita ada lebih 8,000 klinik swasta di seluruh negara. Ia sepatutnya digunakan sebaik mungkin dalam program Pick.

"Saya meminta kerajaan agar campur tangan dalam isu ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS