Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan doktor persoal langkah CITF gugurkan doktor swasta
Diterbitkan:  Aug 24, 2021 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mempersoalkan kewajaran Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) menamatkan khidmat pengamal perubatan am swasta (GP) di Lembah Klang daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

CITF berkata perkataan 'digugurkan' tidak tepat kerana mereka mungkin dilibatkan semula pada masa akan datang dalam program vaksinasi Covid-19 untuk individu berusia di bawah 18 tahun.

Bagaimanapun, presiden MMA Dr Subramanaim Muniandy berkata doktor swasta di Selangor tidak diberitahu mengenai perkara ini apabila mereka digugurkan daripada program berkenaan.

Subramaniam berkata, CITF tidak menjelaskan mengapa doktor digugurkan daripada PICK walaupun mereka memperoleh vaksin Covid-19 daripada pasaran swasta.

"Ramai rakyat Malaysia masih tertanya-tanya mengapa mereka tidak boleh walk in ke klinik swasta untuk mendapatkan vaksin.

"Ini adalah masa yang sangat sukar dan kos perjalanan boleh menjadi beban bagi sesetengah orang. CITF boleh membantu dengan memenuhi kehendak orang ramai dengan menyediakan vaksin di semua klinik GP swasta di seluruh negara," katanya.

CITF mengurangkan jumlah pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang berikutan sebilangan besar penduduk telah divaksinasi dan permintaan terhadap vaksin dijangka berkurangan.

Sebelum ini kerajaan membekalkan vaksin Covid-19 di PPV termasuk kepada para doktor swasta untuk diberikan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, para doktor berpendapat walaupun kerajaan tidak lagi memerlukan khidmat mereka pada masa ini, mereka sepatutnya dibenarkan memberikan vaksin Covid-19 yang diperoleh dari pasaran swasta.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata tindakan untuk menggugurkan doktor di Lembah Klang daripada program vaksinasi "bertentangan" dengan cadangannya.

CITF diminta berunding dengan pakar kesihatan

CITF berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

"Ketua Pengarah Kesihatan telah mencadangkan agar penyertaan GP dalam PICK di bawah ProtectHealth ditingkatkan tapi kami melihat respons yang tidak bersungguh daripada CITF.

"Adakah CITF mengambil nasihat dari Kementerian Kesihatan atau bertindak secara bebas? Ramai rakyat Malaysia masih tertanya-tanya mengapa program PICK di bawah Mosti sedangkan ia sepatutnya diketuai oleh Kementerian Kesihatan.

"Mungkin sudah tiba masanya Mosti atau Kementerian Kesihatan menjelaskan hal ini kerana CITF nampaknya tidak memahami bidang kesihatan.

"Sudah jelas CITF bukan ahli tetapi mereka mainkan peranan untuk vaksinasi. Walaupun mereka bertegas, sekurang-kurangnya harus berunding dengan pakar," kata Subramaniam.

Subramaniam juga menafikan dakwaan CITF bahawa 107.7 peratus populasi dewasa di Lembah Klang telah divaksinasi.

Data berdasarkan bancian 2010 itu tidak termasuk penduduk baru dalam tempoh 11 tahun lalu dan pendatang tanpa dokumen.

"Masih ramai di Lembah Klang yang bahkan belum mendaftar vaksin dan ini termasuk populasi pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen. 

"Bagaimana CITF memperoleh angka ini? Kami perlukan penjelasan daripada mereka," katanya.

APHM mahu lebih banyak vaksin diluluskan

Sementara itu, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berkata walaupun tujuh jenama vaksin Covid-19 telah diluluskan di negara ini, pihak swasta hanya dibenarkan memperoleh dua daripadanya.

Presidennya Dr Kuljit Singh berkata sektor swasta hanya dibenarkan membeli Sinovac dan Moderna.

"Hanya dua jenama yang dibenarkan untuk pembelian swasta. Kami berharap lebih banyak dibenarkan di masa depan," katanya kepada Malaysiakini.

Kerajaan memperoleh vaksin Covid-19 merangkumi 130 peratus penduduk negara ini, walaupun ini tidak mengabilkira kemungkinan suntikan tambahan di masa depan.

Dos yang digunakan oleh kerajaan kebanyakannya dari Pfizer-Biontech dan AstraZeneca.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS