Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kekurangan bekalan vaksin di Johor tak boleh diterima - MP Kulai
Diterbitkan:  Aug 23, 2021 9:41 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

Jangkitan harian Covid-19 di Johor melebihi 1,000 kes dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan angka terbaru mengatasi jumlah jangkitan di Kuala Lumpur.

Walaupun kadar vaksinasi di negeri itu meningkat, Johor berada di tangga keempat paling lambat dalam pengagihan vaksin kepada penduduk. 

Setakat 22 Ogos, hanya 37.4 peratus individu dewasa yang telah melengkapkan vaksin mereka.

Pada masa yang sama sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini menghentikan pemberian vaksin bagi dos pertama kerana dipercayai kekurangan bekalan.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dalam satu kenyataan hari ini.

“PPV EduCity Iskandar diberitahu pada 22 Ogos tentang kekurangan bekalan vaksin bagi dos pertama.

"Oleh itu, vaksinasi dos pertama di PPV ini akan ditunda dari 23 Ogos hingga dimaklumkan kelak, " katanya.

EduCity Iskandar mengendalikan pemberian vaksin di bawah program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) .

Ia mula beroperasi pada 2 Ogos lalu bagi memberikan vaksin kepada pekerja syarikat pembuatan yang terletak di Iskandar Puteri, Gelang Patah, Pekan Nenas, Senai, Skudai dan Kulai.

Ketika dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut, Teo berkata pengurusan kilang-kilang di kawasan berkenaan memaklumkan kepadanya mengenai perkara itu.

Dalam e-mel yang dilihat Malaysiakini , PPV EduCity Iskandar PPV memaklumkan permohonan syarikat-syarikat berkenaan untuk mendapatkan vaksin dos pertama mulai 23 Ogos dan seterusnya "tidak akan diproses sehingga diberitahu kelak" akibat kekurangan bekalan vaksin.

Bagaimanapun ia tidak melibatkan janji temu bagi dos kedua vaksin.

Malaysiakini telah menghubungi PPV EduCity Iskandar untuk mendapatkan respons.

Tak boleh diterima

Anggota parlimen pembangkang dari DAP itu berpendapat masalah itu tidak boleh diterima memandangkan Johor telah mencatatkan empat angka jangkitan Covid-19 setiap hari sejak bulan lalu.

"Walaupun terdapat janji bahawa Johor akan menerima dua juta dos vaksin pada bulan Ogos, PPV di Johor masih menghadapi kekurangan vaksin.

"Ini sama sekali tidak boleh diterima kerana banyak industri pembuatan menunggu janji temu vaksin mereka sehingga pekerja mereka dapat divaksinasi sepenuhnya dan boleh kembali beroperasi.

"Setiap penangguhan sangat kritikal dan boleh menyebabkan orang awam terkena jangkitan atau bahkan risiko kematian " katanya.

Justeru, Teo meminta Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) memastikan semua PPV di negeri ini mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi.

"CITF harus adil kepada Johor dan memastikan semua PPV di Johor beroperasi dengan kemampuan maksimum," katanya.

Ini bukan kali pertama PPV di Johor menghadapi masalah kekurangan bekalan vaksin.

Pada Jun lalu, Teo berkata sekurang-kurangnya tiga PPV di negeri ini terpaksa ditutup sementara setelah kehabisan bekalan vaksin.


Laporan tambahan oleh Annabelle Lee


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS