Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara saman fitnat Kit Siang pada Hanif bermula 20 Sept

Perbicaraan kes saman pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang terhadap bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Hanif Omar yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ketika berucap di sebuah konvensyen pada 2018 dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd, akan bermula 20 Sept ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Lim selaku plaintif ketika dihubungi Bernama hari ini berkata perbicaraan kes itu ditetapkan pada 20 hingga 23 Sept ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon dan pengurusan kes selanjutnya pada 15 Sept.

Lim yang memfailkan saman pada 17 Okt 2018, mendakwa Mohammed Hanif selaku defendan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ketika berucap pada Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Sept 2018 yang telah diterbitkan dan disiarkan oleh akhbar Sinar Harian.

Menerusi pernyataan tuntutan, pemimpin kanan DAP itu mendakwa kata-kata fitnah berkenaan antara lain membawa maksud beliau bertanggugjawab dan berniat mengarahkan DAP untuk memisahkan atau membahagikan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian berdasarkan kaum dan berniat untuk memecahkan kaum Melayu dan Cina.

Plaintif mendakwa defendan kedua (Sinar) bertindak dengan niat jahat apabila mencetak, menyiarkan, menerbit dan mengedarkan kata-kata fitnah itu.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan-defendan mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik kata-kata fitnah tersebut selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta satu perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan semula kata-kata fitnah berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS