mk-logo
Berita
Suhakam amat bimbang tindakan 'berlebihan' polis
Diterbitkan:  Aug 23, 2021 4:00 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Dua kejadian terbaru membabitkan tindakan polis ke atas orang awam membimbangkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan menunjukkan pihak berkuasa terbabit tidak selari dengan tugas mereka memudahkan rakya.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Suhakam merujuk kepada penangkapan 31 belia yang berkumpul di Dataran Mereka untuk memperingati korban Covid-19, serta penutupan jalan-jalan utama serta kemudahan pengangkutan awam menghala ke Kuala Lumpur.

"Kedua-dua insiden itu menunjukkan tindakan yang tidak selari dengan negara sebagai pihak yang bertanggungjawab membenarkan dan memudahkan rakyat - sebagai pemegang hak - untuk berhimpun secara aman," katanya.

Dalam himpunan pada 19 Ogos lalu seramai 31 aktivis ditahan selepas menyertai himpunan memperingati korban Covid-19 dengan sesetengahnya diheret ke lori Black Maria untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Mereka kemudian dibebaskan pada awal pagi berikutnya dan dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang - atau bernilai RM62,000 secara keseluruhan - kerana melanggar peraturan yang menghalang perhimpunan diadakan ketika penularan wabak Covid-19. 

Kumpulan anak muda itu membabitkan 17 lelaki dan 14 perempuan. Antara mereka ialah aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang menganjurkan protes #Lawan baru-baru ini.

Pada 21 Ogos pula polis membuat 88 sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan masuk ke Kuala Lumpur susulan himpunan #Lawan menyebabkan kesesakan lalu lintas di ibu kota.

Pihak berkuasa juga menutup sementara 34 stesen LRT di Kuala Lumpur dari jam 9 pagi hingga 3 petang ini untuk "melindungi keselamatan awam". 

Langkah berkenaan diambil di sebalik pengumuman awal penganjur bahawa himpunan berkenaan dibatalkan.

Kata Suhakam mereka berasa amat bimbang dengan tindakan pihak polis yang berlebihan terhadap perhimpunan dan hak rakyat untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka.

Menurut badan itu mereka dimaklumkan peserta perhimpunan ditangkap secara paksa dan dibawa ke balai polis tanpa dimaklumkan mengenai hak mereka atau sebab-sebab tangkapan.

"Terdapat juga laporan bahawa kumpulan ini tidak diberikan akses kepada wakil peguam dan ini jelas menunjukkan bahawa hak perlembagaan mereka telah dicabul di bawah Perkara 5 dan 10 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Justeru Suhakam menyeru polis untuk menghormati dan mengiktiraf hak untuk berhimpun secara aman sama ada umum atau persendirian bagi menyuarakan secara kolektif, mempromosi, mendapatkan dan mempertahankan kepentingan bersama yang merupakan hak asasi manusia.

Kata Suhakam tiada halangan seharusnya dikenakan terhadap pelaksanaan hak berkenaan melainkan menurut undang-undang.

"Suhakam mengulangi bahawa menjadi tanggungjawab polis untuk memudahkan hak rakyat untuk berhimpun sepertimana yang disaksikan oleh Suhakam semasa perhimpunan #Keluar dan #Lawan pada 31 Julai 2021.

"Dengan kerjasama yang baik antara polis dan penganjur, rakyat Malaysia akan dapat menikmati hak untuk berhimpun secara aman dan suatu hari nanti, hak untuk bersuara akan dicapai sepenuhnya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS