Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin DAP, GPS gesa siasat lambakan sisa kayu hanyut di Sg Rajang
Diterbitkan:  Aug 23, 2021 3:48 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Ahli Parlimen Sibu dari DAP, Oscar Ling menggesa kerajaan negeri Sarawak untuk menyiasat lambakan sisa kayu hanyut yang kini menyebabkan aliran Sungai Rajang di negeri itu tersumbat.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia mengatakan bahawa situasi itu menyebabkan loji rawatan air di kawasan yang terjejas tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana pencemaran yang tinggi di dalam air.

"Lembaga air Sibu telah mengumumkan bahawa semua loji rawatan air di Sibu berhenti beroperasi pada masa ini, dan bekalan air bersih ke seluruh Sibu akan terjejas.

"Sisa kayu hanyut juga mengganggu ekosistem air di Sungai Rajang," kata Ling.

Dengan panjang 565km, sungai itu adalah sungai terpanjang di Malaysia dan mempunyai sejumlah anak sungai penting seperti Sungai Balui, Sungai Katibas, Sungai Ngemah, Sungai Iran, Sungai Pila, Sungai Balleh, Sungai Bangkit dan Sungai Kanowit.

Projek hidroelektrik terbesar dan tertinggi (160m) di Malaysia, Empangan Hidroelektrik Bakun, terletak di Air Terjun Bakun di Sungai Balui.

Ling menceritakan bahawa semasa bencana yang disebabkan sisa kayu hanyut sebelumnya pada tahun 2010, banyak ikan mati akibat pencemaran air, dan tahap oksigen di dalam air berkurang.

"Kesalahan itu berulang lagi hari ini dan kita berhak mendapat jawapan daripada kerajaan negeri.

"Ini adalah masalah alam sekitar yang serius dan populasi ikan yang berharga mungkin lesap jika masalah alam sekitar ini tidak diselesaikan," katanya, menggesa kerajaan negeri menyiasat dan melaporkan masalah tersebut secepat mungkin.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing dari gabungan GPS mengingatkan akibat bencana sisa kayu hanyut pada 2010. Untuk rekod, gpS merupakan sebahagian kerajaan negeri.

 

"Bencana serius pertama di hulu sungai Batang Baleh adalah pada tahun 2010. Kawasan sungai terjejas sepanjang Kapit ke Sibu. Ini mengakibatkan sungai tersumbat dengan ikan dan hidupan liar termasuk buaya mati yang dijumpai terapung di sungai," katanya.

Masing mendakwa bahawa aliran sungai yang lancar kini terhalang oleh pembinaan empangan hidroelektrik Baleh.

"Ini semua disebabkan oleh syarikat konsesi kayu," katanya.

"Mereka beroperasi di hulu Sungai Baleh dengan kesan buruk terhadap alam sekitar," tambahnya.

Masing mengatakan bahawa untuk mengatasi situasi itu agar tidak berulang, langkah terbaik adalah tidak memperbaharui lesen kayu syarikat yang beroperasi di hulu Sungai Baleh.

Dia mengatakan bahawa sudah menjadi pengetahuan awam bahawa aktiviti pembalakan di daerah aliran sungai projek hidroelektrik itu akan menyebabkan siltasi dan dengan itu akan mengurangkan jangka hayat empangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS