Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu segera membuang 'badi Langkah Sheraton' dengan mengambil tindakan drastik sekurang-kurangnya sehingga parlimen dibubarkan kata Mujahid Yusof.
Menurut naib presiden Amanah itu Ismail Sabri perlu mengambil beberapa langkah segera antaranya memulihkan demokrasi dengan memperbanyakkan jawatankuasa pilihan parlimen rentas parti tertumpu kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Langkah itu katanya membolehkan wujudnya mekanisme semak-imbang lebih berkesan dan idea yang disatukan atas kepentingan negara semasa krisis.
"Selain itu perdana menteri perlu memberi keyakinan kepada rakyat dengan memperkenalkan akta antilompat parti dengan melibatkan jawatankuasa dianggotai semua pihak sebelum ia dibentang di parlimen," katanya dalam kenyataan media hari ini
Turut perlu dilaksanakan kata Mujahid ialah menyuntik dana sebanyak RM50 bilion dan meningkatkan had ambang tahap keberhutangan negara untuk tujuan tersebut.
Anggota Parlimen Parit Buntar itu berkata demikian sebagai mengulas perkembangan semasa selepas pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri kesembilan bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.
Tambah Mujahid, Ismail Sabri juga perlu memperkecilkan saiz kabinet supaya dapat memberikan lebih fokus mengendalikan implikasi Covid-19 kepada kesihatan awam, ekonomi, pendidikan dan kebajikan rakyat.
Selain itu jelasnya, perdana menteri perlu mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi politik dan pemerintahan melalui penguatkuasaan yang adil, melawan rasuah, memberikan layanan adil kepada wakil rakyat yang mewakili mandat pengundi masing-masing dan mengamalkan ketelusan.
"Kegagalan Ismail Sabri mempamerkan iltizam ke arah perubahan seperti di atas akan mendedahkan dia kepada label perdana menteri kitar semula.
"Ismail Sabri perlu menghindari tekanan politik 114 anggota parlimen dan blok yang menyokongnya menuntut habuan masing-masing.
"Seramai 114 bukanlah bilangan yang menjaminkan kestabilan, namun apa yang berlaku ke atas Muhyiddin tempoh hari membuktikan seramai 15 ahli Parlimen Umno telah mempolitikkan hubungan tegang Umno-Bersatu sehingga membawa kepada lahirnya kerajaan kitar semula hari ini.
"Bagi 105 anggota Parlimen yang tidak menyokong Ismail Sabri, mereka meletakkan komitment sedari awal lagi untuk memelihara demokrasi, menjunjung perlembagaan dan menumpukan kepada kendalian krisis Covid-19 supaya negara dan rakyat dapat didahulukan," kata Mujahid.
Untuk rekod berdasarkan pelaksanaan PRU terakhir pada 2018, parlimen akan terbubar dengan sendirinya pada 2023 jika ia tidak dilakukan lebih awal oleh kerajaan.
Tidak sepreti kebanyakan negara lain di dunia, pelaksanaan PRU di negara ini hanya dimaklumkan pada saat-saat akhir sekali gus memberi kelebihan kepada parti dalam kerajaan membuat persediaan awal.