mk-logo
Berita
Upko cadang tubuh FSC untuk ekonomi, kesihatan negara
Diterbitkan:  Aug 23, 2021 2:21 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Dalam merealisasikan “Keluarga Malaysia,” Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Wilfred Madius Tangau mencadangkan penubuhan Majlis Persekutuan-Negeri (FSC) bagi membuat keputusan besar berhubung ekonomi dan kesihatan.

Menyambut baik konsep “Keluarga Malaysia” seperti yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam, Wilfred berharap pelaksanaan FSC dapat dipertimbangkan berbanding cadangan Majlis Pemulihan Negara.

“Bagaimanapun, saya ingin menyeru agar FSC mengenai pemulihan ekonomi dan kesihatan dapat dipertimbangkan untuk dilaksana berbanding cadangan MPN,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, dalam ucapan awam pertama Ismail Sabri, ahli politik pembangkang ditawarkan ruang bekerjasama dengan kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19 yang masih membelenggu negara.

Menurut ahli parlimen Bera itu, kerajaan menawarkan kerjasama melalui penyertaan dalam Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19. 

Mengulas lanjut, Wilfred mencadangkan supaya FSC dipengerusikan oleh Ismail Sabri bersama ketua pembangkang, Anwar ibrahim dengan keahlian yang sama rata antara menteri-menteri kanan kerajaan dan ahli-ahli Parlimen kanan pembangkang.

Ia juga akan dianggotai oleh menteri besar dan ketua menteri dari semua 13 negeri, serta dibantu oleh tenaga pakar dan profesional dalam kalangan perkhidmatan awam dan masyarakat termasuk pihak tentera dan polis.

“FSC dapat berfungsi seperti war kabinet yang membuat keputusan besar mengenai ekonomi dan kesihatan, sementara kabinet sebenar pula berfungsi sebagai menguruskan pelaksanaan terhadap keputusan yang telah diambil selain mengurus isu-isu lain yang dihadapi.

“Pendekatan ini sudah pasti boleh membawa kepada pembentukan dasar yang lebih baik dan menjadi medan perkongsian tanggungjawab politik dalam kalangan parti pembangkang dan kerajaan, khususnya dalam membuat keputusan yang tidak popular tetapi perlu untuk diambil.

“Ia bukan sahaja boleh melindungi parti kerajaan daripada kepincangan, tetapi dalam masa yang sama ia tidak memberi komplikasi terhadap amalan pemerintahan perpaduan,” katanya.

Dalam ucapan semalam, Ismail Sabri turut menyeru semua ahli Dewan Rakyat untuk bersatu dan menggembleng tenaga sebagai "keluarga Malaysia" untuk memulihkan semula negara.

Ismail mengajak pemimpin politik tanpa mengira latar belakang ideologi supaya mencari persamaan dan tidak lagi menggali perbezaan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS