Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP sedia sambut ajakan PM asalkan bukan untuk jadi pak turut
Diterbitkan:  Aug 22, 2021 9:45 PM
Dikemaskini: 1:45 PM

DAP hari ini menyatakan kesediaan mereka menyambut pelawaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata pendirian itu dibuat atas pertimbangan keadaan semasa iaitu menyelamatkan nyawa rakyat serta mengatasi isu kesempitan hidup mereka.

Pun begitu kata Lim ia tawaran itu mestilah memberi makna untuk matlama tersebut dan bukannya hanya membenarkan keputusan Putrajaya.

"Demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, DAP sanggup mempertimbangkan tawaran untuk kepimpinan pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19, asalkan ia bukan sekadar untuk mencukupi syarat dan mengiakan pandangan kerajaan semata-mata.

"Yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua," katanya dalam kenyataan balas terhadap ucapan awam pertama Ismail Sabri selaku perdana menteri.

Dalam ucapan berkenaan Ismail Sabri mempelawa pembangkang menyertai kedua-dua badan berkenaan bagi menguruskan krisis pandemik Covid-19 sekarang.

Setakat ini sebanyak 1.55 juta kes positif Covid-19 direkodkan di seluruh negara termasuk 19,807 yang disahkan sehingga hari ini. Daripada jumlah itu 232 orang meninggal dunia menjadikan kadar kematian akibat Covid-19 bertambah kepada 14,168 orang.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Wilfred Madius Tangau, mengalu-alukan konspek Keluarga Malaysia yang dibawa Ismail Sabri.

Beri ruang buat keputusan

Bagaimanapun dia mencadangkan agar Majlis Persekutuan-Negeri (FSC)dalam Majlis Pemulihan Negara bagi menangani isu pemulihan ekonomi dan kesihatan di seluruh negara.

"FSC wajar dipengerusikan oleh perdana menteri dengan ketua pembangkang parlimen, melibatkan menteri utama, pemimpin kanan pembangkang dan menteri besar serta ketua menteri dari 13 negeri, dibantu pakar dan golongan profesional sertra pegawai tertinggi perkhidmatan awam, tentera dan polis.

"Ia boleh berfungsi seperti kabinet perang yang membuat keputusan besar mengenai ekonomi dan kesihatan, sementara kabinet melaksanakan keputusan tersebut dan mengurus masalah lain.

"Ini akan memberikan penyelarasan dasar menyeluruh dan berkongsi tanggungjawab politik untuk keputusan yang diperlukan tetapi tidak popular di pihak parti politik dan kerajaan untuk melindungi kerajaan persekutuan daripada kepincangan parti tanpa kerumitan kerajaan perpaduan," kata ahli parlimen Tuaran itu.

Wilfred menambah mengetepikan kerajaan negara dari badan itu akan menjejaslan keberkesanan usaha memerangi Covid-9, terutama ketika pusat Covid-19 kini beralih ke negeri lain.

"Persekutuan Malaysia terlalu berpusat. Desentralisasi dalam kedua-duanya melibatkan pemerintah negeri dalam keputusan nasional (peraturan bersama) memberi lebih banyak ruang untuk negeri membuat keputusan mereka sendiri (pemerintahan sendiri) sangat diperlukan," katanya.

Bagi Amanah pula parti itu membangkitkan isu pemilihan anggota kabinet baru selepas ini.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata rakyat sedang memerhati dan menunggu langkah lanjut perdana menteri.

"Adakah kluster mahkamah dan mereka yang jelas menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong akan dicadangkan sebagai menteri kabinet?

"nilah ujian pertama kewibawaan perdana menteri kesembilan," katanya.

Sementara itu PKR Selangor berkata pelantikan Ismail Sabri dibuat dibuat mengikut lunas-lunas perlembagaan, demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan.

Ketua Penerangan PKR Selangor Halimey Abu Bakar berkata parti itu menuntut agar golongan kleptokrat dan kluster mahkamah tidak dilindungi oleh mana-mana pihak serta mesti dibicarakan dengan adil dan saksama

PKR Selangor juga, katanya, mendesak polis agar menjalankan siasatan semula kes video intim membabitkan seorang ahli parlimen kerajaan yang sehingga kini masih belum terjawab.

Mereka juga berharap pihak berkuasa tidak melengahkan siasatan kes serangan seksual yang dikaitkan dengan seorang Adun yang juga setiausaha politik bekas menteri kanan terbabit.

"Selari dengan pendirian Pakatan Harapan, PKR Selangor konsisten menganggap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, adalah individu yang sebenarnya paling layak diangkat sebagai perdana menteri.

"Namun, dalam perlumbaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tempoh hari, beliau telah membuktikan dirinya tidak gila kuasa dengan mengekalkan prinsip tidak mahu berkompromi dengan golongan pengkhianat serta kleptokrat.

"PKR Selangor berpegang teguh dengan pendirian bahawa seharusnya mandat rakyat pada PRU ke-14 dikembalikan kepada gabungan yang telah dipilih pada 9 Mei 2018 iaitu PH," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS