Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Charles tuntut Jabatan Kesihatan S'gor lebih proaktif

Selepas 17 daripada 24 orang penghuni sebuah rumah warga emas persendirian meninggal dunia akibat Covid-19 dalam tempoh dua minggu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, menggesa pihak berkuasa kesihatan tempatan lebih proaktif dalam pemberian vaksin kepada golongan berisiko tinggi.

Dilaporkan penghuni pertama di pusat jagaan itu yang meninggal dunia pada tiga minggu lalu dan setakat minggu lalu seramai 17 kematian dilaporkan di situ.

Kesemua 24 penghuni terbabit berusia antara 70 hingga 90 tahun didapati positif Covid-19.

"Di sinilah kita memerlukan jabatan kesihatan negeri (JKN) dan pejabat kesihatan daerah (PKD) supaya bersikap proaktif.

"Mereka perlu menghubungi rumah warga emas, bukan sebaliknya, kerana mereka tahu di mana rumah warga emas itu, ada sekitar 50 daripadanya di daerah Klang.

"Mengapa mereka menunggu begitu lama? Ini adalah sesuatu yang harus dilakukan sejak awal," kata Charles kepada Malaysiakini hari ini.

Menurut Charles, dia telah berusaha untuk membantu kira-kira 150 orang dari komuniti miskin di Bukit Raja yang belum dapat mendaftar vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

Ketika dia berusaha meminta pasukan vaksinasi bergerak dari PKD setempat untuk penduduk di Bukit Raja, katanya, permintaan itu ditolak dan dimaklumkan supaya mengunjungi pejabat kesihatan.

"Cara ini tidak akan berjaya. Anda tidak perlu menunggu orang datang kepada anda," tegas Charles.

Pada masa sama, katanya, pemilik rumah untuk warga tua juga harus lebih bertanggungjawab dan memberikan vaksinasi kepada penduduk dan pekerja mereka.

Terdahulu The Star melaporkan mengenai kematian di pusat jagaan berkenaan dan pemilik rumah itu Tan Kai Sheng menambah bahawa enam pekerja yang tinggal di situ juga positif.

Tan juga berkata tiga pekerja telah melarikan diri dan seorang lagi telah berhenti.

"Seorang datang kembali dan kami menggaji kakitangan baru untuk menjaga warga emas di sini," kata Tan dipetik sebagai berkata.

Turut dilaporkan kesemua 24 penghuni itu tidak menerima vaksinasi Covid-19 atau mereka tidak mendaftar melalui MySejahtera.

Sementara itu Charles berkata, dia telah menghubungi beberapa anggota keluarga mereka yang sudah meninggal dunia dan mereka dijangka akan membuat laporan polis dalam masa terdekat terhadap pusat jagaan berkenaan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS