Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu serah isu TPM, jawatan kabinet pada Muhyiddin dan Ismail

Kepemimpinan Bersatu belum membincangkan atau memutuskan nama yang akan muncul dalam kabinet Perdana Menteri baru Ismail Sabri Yaakob, tetapi akan menyerahkannya kepada presiden parti Muhyiddin Yassin dan Ismail untuk membincangkan perkara itu.

Ahli Jawatankuasa Pusat Bersatu, Faiz Na'aman memberitahu Malaysiakini bahawa semasa mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu malam tadi, tidak dibincangkan mengenai nama yang akan dicadangkan oleh parti itu untuk jawatan Kabinet.

"Tidak benar bahawa Bersatu ingin dikecualikan dari kabinet, tetapi kami tidak menyebut nama mereka yang akan terlibat dalam kabinet.

"Majlis Tertinggi memutuskan untuk menyerahkan perkara itu kepada presiden parti untuk berbincang dengan perdana menteri (Ismail) kerana ini adalah hak prerogatif PM," kata Faiz.

Spekulasi timbul sebelum ini mengenai apakah Muhyiddin sendiri akan terlibat dalam kabinet dengan memegang jawatan menteri mentor, atau apakah Bersatu akan diberi jawatan timbalan perdana menteri.

Selain Muhyiddin, pemimpin Bersatu yang sebelum ini menganggotai kabinet adalah Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri), Azmin Ali (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Md Redzuan Yusof (Menteri Tugas-tugas Khas), Radzi Jidin (Menteri Pendidikan), Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Saifuddin Abdullah (Menteri Multimedia dan Komunikasi), Rina Harun (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Abdul Latif Ahmad (Menteri Pembangunan Luar Bandar).

Muhyiddin digulingkan setelah 15 ahli parlimen Umno menarik sokongan kepada kerajaan gabungannya yang terdiri daripada PN (Bersatu, PAS, STAR, SAPP, Gerakan), BN (Umno, MCA, MIC, PBRS), GPS (PBB, PRS, PDP SUPP), PBS dan ahli parlimen bebas.

Namun, 14 daripada 15 ahli parlimen Umno kembali menyokong PN setelah disepakati bahawa Ismail Sabri akan mengambil alih jawatan perdana menteri dengan sokongan 114 ahli parlimen.

Ismail Sabri, 61, adalah timbalan perdana menteri ketika pentadbiran Muhyiddin dan akan menghadapi cabaran memerangi wabak Covid-19 yang telah menyaksikan 13,936 kematian setakat ini.

Dia juga menggalas beban menerajui usaha memulihkan ekonomi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS