Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno akan dipersalahkan jika Ismail gagal tangani Covid-19 - Khir Toyo

Baru semalam Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah selaku perdana menteri Malaysia yang kesembilan, namun nampaknya, waktu sudah pun begitu memusuhinya.

Menurut bekas menteri besar Selangor, Dr Khir Toyo, Ismail Sabri kini harus berdepan cabaran yang amat berat, sedangkan masa yang tinggal amat suntuk.

Bukan sahaja perlu mengetuai perang melawan Covid-19, masa depan Umno juga kini tergalas di bahunya. 

Sekiranya kerajaan Ismail Sabri gagal menangani pandemik ini, kata Khir, akibatnya akan ditanggung Umno sendiri, bukannya parti-parti komponen PN yang lain.

“Kalau katalah dia gagal untuk berkhidmat cemerlang sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang, Umno akan berada dalam kedudukan yang sangat-sangat buruk, kerana kesalahan akan digalaskan di bahu Umno,” katanya ketika dihubungi semalam.

“PN akan lari. Dalam senario ini, mungkin PN pun tak akan minta jawatan yang besar-besar, kerana mereka tahu, untuk pulihkan ekonomi dalam masa enam ke lapan bulan, adalah sangat sukar.

“Nampak gayanya, rakyat dah tengok ke situ, walaupun kerajaan (baru) itu nanti kerajaan (bersama) PN, bukannya kerajaan Umno, tapi beban itu dah bertukar kepada Umno sekarang ini.

“Di lapangan, rakyat sedang melihat kepada Umno sekarang. Jadi Ismail Sabri menggalas satu tanggungjawab yang berat dalam hal ini. Dan Umno juga sangat-sangat berharap pada dia juga,” tambahnya.

Dia turut memetik janji Muhyiddin sebelum ini bahawa PRU akan diadakan selewatnya pertengahan tahun hadapan, menjadikan kerajaan baru Ismail Sabri nanti hanya mempunyai baki tidak sampai setahun untuk mengawal Covid-19 serta memulihkan ekonomi yang teruk terjejas akibat wabak berkenaan, sebelum PRU mungkin diadakan.

Pelbagai tarikh ramalan PRU dispekulasikan sebelum ini, namun yang pasti, Muhyiddin sendiri pernah berjanji bahawa PRU akan diadakan hanya setelah wabak Covid-19 reda dan dapat dikawal selain imuniti kelompok dicapai.

Yang terbaru, bekas perdana menteri itu sebelum meletakkan jawatan, membuat aku janji bahawa PRU akan diadakan selewat-lewatnya Julai. Tetapi tidak dapat dipastikan apakah kerajaan Ismail Sabri nanti akan turut mengambil komitmen untuk merealisasikan aku janji berkenaan.

Dalam keadaan Umno bukan pemegang kerusi majoriti berbanding PN di dalam kerajaan baru nanti, serta Ismail Sabri sendiri bukanlah perdana menteri yang juga presiden parti, kata Khir, tangan Ismail ibarat “terikat” untuk melakukan perubahan besar dalam kabinetnya nanti.

“Kita kena ingat, presiden (Ahmad Zahid Hamidi) dulu tak setuju dengan dia (soal kerjasama dengan PN). Presiden sokong dia, mesti ada sesuatu yang diharapkan, sekurang-kurangnya hendak melantik ahli parti (ke dalam kabinet), (mungkin) kena tanya dia dulu”.

Oleh itu, Khir tidak menjangkakan perubahan besar akan berlaku dalam kabinet baru Ismail itu, kecuali beberapa portfolio yang mungkin akan dinilai berdasarkan prestasi sebelum ini.

Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan pada 16 Ogos selepas 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya, menyebabkan dia hanya mempunyai 100 sokongan ahli parlimen, kurang 11 untuk mencapai majoriti.

Mereka dilihat sebagai kem presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang mahu memutuskan kerjasama dengan PN, sedangkan Ismail Sabri pula dilihat mengetuai sekumpulan ahli parlimen yang lebih besar, termasuk daripada parti komponen BN yang memilih untuk kekal dalam pentadbiran PN sehingga ke akhirnya.

Terdapat 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat dengan dua kerusi kosong. Umno mempunyai 38 ahli parlimen, 37 daripadanya menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Syarat Bersatu

Mengenai sokongan bersyarat PN atas sokongan kepada Ismail Sabri yang dikatakan mengundang kegelisahan Umno, Khir tidak memandangnya sebagai satu perkara yang boleh sehingga menimbulkan masalah dalam kerajaan baru nanti.

Cuma sahaja, kata bekas ahli MT Umno itu lagi, mungkin ada syarat juga oleh Umno yang tidak mahu individu tertentu daripada parti tertentu yang dilantik menjadi menteri, bagi menjaga imej kerajaan baru nanti.

“Kerana imej kerajaan adalah sangat penting sekarang, dan imej (kerajaan baru) itu digalas oleh Umno, bukannya PN,” tegasnya sekali lagi.

Namun, akuinya, isu kluster mahkamah itu boleh mengganggu Ismail Sabri, kerana memang ada sebahagian ahli Umno yang mahu Najib Razak dan Ahmad Zahid dilepaskan daripada pertuduhan mahkamah.

Syarat dikemukakan Muhyiddin selaku pengerusi PN ialah Ismail Sabri mesti memastikan anggota kabinetnya berintegriti, amanah, bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah mahkamah, menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep raja berperlembagaan.

“Isu ini akan menjadi semacam duri dalam daging dalam kehidupan perdana menteri baru kitalah. Bagaimana nak selesaikannya? Saya pun tak tahulah itu,” katanya.

Disoal apakah kelemahan terbesar kerajaan PN terdahulu yang harus diperbetul kerajaan baru di bawah Ismail Sabri, jawab bekas pengerusi badan perhubungan Umno Selangor itu, adalah cara menguruskan wabak Covid-19.

Katanya, kerajaan PN terdahulu terlalu memberikan fokus untuk memutuskan rantaian Covid-19, sedangkan rantaian wabak itu mustahil dapat diputuskan seratus peratus.

Khir yang juga doktor gigi itu mencadangkan Ismail Sabri mengumpulkan pakar-pakar bagi membincangkan untuk mengubah strategi menangani Covid-19, termasuklah saluran peruntukan lebih bersasar bagi fasiliti dan kemudahan rawatan Covid-19, cara saringan dan sebagainya.

Namun, dia yakin Ismail Sabri akan dapat melakukannya dengan baik kali ini, memandangkan pengalamannya sebelum ini yang lama terlibat dalam pengendalian Covid-19 sebagai menteri pertahanan dan menteri kanan kluster keselamatan di bawah PN dahulu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS