Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nadir nafi tak beri maklum balas pada polis - Peguam
Diterbitkan:  Aug 21, 2021 9:04 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Peguam kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menafikan anak guamnya tidak memberi maklum balas kepada pihak polis berhubung tarikh untuk merakam keterangan.

Dalam satu kenyataan hari ini, peguam Zainul Rijal Abu Bakar dan Ridha Abdah Subri berkata, pihak polis juga mengetahui di mana anak guam mereka berada dan tiada keperluan untuk mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol).

"Anakguam kami menegaskan beliau memang ada berbalas pesanan dengan beberapa anggota polis dan menafikan tidak membalasnya.

"Mereka juga mengetahui di mana anakguam kami berada sekarang. Anakguam kami sedia memberikan kerjasama penuh di dalam apa jua siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Malah semua pihak termasuk polis mengetahui beliau sekarang berada di Gaza, Palestin. Oleh yang demikian tiada keperluan untuk meminta bantuan Interpol untuk mengesan anakguam kami.

Semalam polis dilapor memohon bantuan Interpol untuk mengesan Nadir dan penyanyi rap, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata tindakan itu diambil selepas polis gagal mendapat maklum balas daripada kedua-duanya berhubung tarikh untuk merakam percakapan mereka.

Ashari berkata, kedua-dua individu itu perlu dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan polis berhubung satu laporan yang dibuat oleh pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 21 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal dan Ridha berkata Ashari telah berhubung dengan Nadir dan anak guam mereka itu sedia memberi kerjasama kepada pihak polis.

Bagaimanapun kata mereka, Nadir menghadapi kesukaran untuk keluar masuk ke Gaza kerana sempadan dikawal ketat oleh pihak berkuasa, selain sedang melanjutkan pengajian di sana.

"Sehingga kini anakguam kami masih belum mengetahui butiran laporan polis yang dibuat oleh pihak terbabit secara terperinci.

"Pihak Polis boleh menghubungi kami selaku peguam kepada anak guam kami untuk memudahkan segala perancangan mengambil keterangan tersebut dan siasatan dapat disempurnakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS