Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno kembali berkuasa: Pua salahkan pembangkang
Diterbitkan:  Aug 20, 2021 7:47 PM
Dikemaskini: 2:20 PM

Pengumuman bahawa Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri kesembilan mendapat reaksi berbeza di kalangan dari ahli politik pembangkang.

Paling ketara adalah dari Setiausaha Publisiti Nasional DAP Tony Pua, yang mempersalahkan pembangkang yang menyaksikan Umno kembali berkuasa.

"Ditendang keluar dari kerajaan pada Februari 2020 adalah cukup buruk.

"Tetapi  berperanan utama yang membolehkan Umno kembali berkuasa? Satu tamparan,” katanya dalam satu catatan Facebooknya malam ini.

Pua merujuk kepada kejatuhan Pakatan Harapan tahun lalu, dan peranan yang dimainkan oleh pembangkang untuk mengasak pentadbiran Perikatan Nasional sehingga menyebabkan pengunduran diri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.

Ahli Parlimen Damansara itu sebelum ini lantang membidas idea menjatuhkan Muhyiddin, kerana bimbangan bahawa tindakan berkenaan akan menyebabkan Umno kembali berkuasa setelah dikalahkan oleh PH pada pilihan raya umum 2018.

Sebagai rekod, PH berjaya membentuk kerajaan persekutuan pada Mei 2018 setelah bertahun-tahun memerangi gabungan pemerintahan Barisan Nasional yang diterajui oleh Umno.

Ketika Muhyiddin menawarkan semua parti politik untuk bekerjasama, dalam apa yang dilihat sebagai usaha terakhir untuk menyelamatkan kedudukannya, Pua adalah antara beberapa pemimpin pembangkang yang menyarankan agar pembangkang mempertimbangkannya.

Perdana Menteri ketika itu, antara lain telah menawarkan untuk melaksanakan reformasi politik yang diperjuangkan PH termasuk untuk membatasi tempoh jawatan perdana menteri dan Undi18.

Muhyiddin juga menawarkan untuk memberikan peruntukan parlimen yang sama kepada semua anggota parlimen pembangkang dan melantik ketua pembangkang setaraf sebagai menteri kanan kabinet, sebagai pertukaran untuk sokongan mereka.

Namun, cadangan Pua untuk menerima tawaran yang dihulurkan oleh Muhyiddin tidak disambut baik dan gagal. Seorang lagi pemimpin DAP lain yang berkongsi peandangan yang sama adalah Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, yang juga dikritik hebat.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Chan Foong Hin, dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini menyoal apakah kerajaan baru Ismail sabri akan menawarkan tawaran serupa kepada pembangkang.

“Adakah kerajaan akan masih meneruskan tujuh tawaran Kerjasama Rentas Parti yang dibentang oleh bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, termasuk penggubalan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti, dan pelaksanaan Undi 18 tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik?"

Berikut komen ahli politik pembangkang lain mengenai pelantikan Ismail Sabri.

Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara, ahli Parlimen Kota Raja)
"Saya mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sebagai perdana menteri.

"Walau bagaimanapun saya berasa kecil hati dan terguris apabila mereka yang mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya Mei 2018 tidak memperolehi mandat itu semula.

"Mungkin rakyat melihat proses pilihan raya itu telah menjadi sia-sia. Oleh itu proses ‘Parliamentary Democracy’ di Malaysia perlu diperteguhkan semula.

"Beri keyakinan kepada rakyat agar ‘insiden langkah Sheraton 2020’ tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Kalau ia berulang, bermakna sistem yang kita pilih ini telah hancur dan perlu diperbaiki menjelang pilihanraya yang akan datang.

"Untuk memberi keyakinan semula kepada rakyat adalah sukar apabila yang menang menjadi pembangkang dan yang kalah menjadi kerajaan. Rakyat perlu membuat pilihan. Yang penting sistem demokrasi berparlimen perlu dipertahankan."

Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR, ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu)
"Tahniah dan terima kasih Istana. Harap perdana menteri baru akan membawa politik baru seperti yang dinasihatkan oleh Yang Dipertuan Agong.

"Cabaran terbesarnya adalah membentuk kestabilan dan memberi tumpuan kepada pandemik Covid ekonomi.

"Kami pembangkang akan terus memperjuangkan reformasi dan Malaysia yang demokratik sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dan konstruktif.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), ahli parlimen Muar)
"Tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia yang baru.

"Patik menjunjung kasih ke atas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Majlis Raja-Raja Melayu atas perkenan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik YAB Perdana Menteri ke-9.

"Saya akan teruskan kerja dan politik khidmat sebagai ahli Parlimen pembangkang.

"Sebagai ahli Parlimen, tugas dan tanggungjawab hakiki saya adalah untuk terus membawa idea dasar dan polisi serta melaksanakan semak imbang ke atas setiap keputusan kerajaan untuk kebaikan rakyat.

"Paling penting, saya akan sentiasa menjunjung Keluhuran Perlembagaan untuk negara.

"Kerajaan yang baru dibentuk ini wajib bekerja keras untuk menangani krisis Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara. Selamat maju jaya."

Amir Abd Hadi (Setiausaha Agung Muda)
"Muda akan meneruskan gerak kerja parti, serta berusaha dari segala segi bagi memastikan parti dapat diluluskan. Tindakan melambat-lambatkan kelulusan Muda adalah bertentangan dengan hak demokratik rakyat yang dijamin Perlembagaan.

"Muda juga menyeru agar kesatuan pembangkang yang telah dibina dapat diteruskan, serta diperkukuhkan bagi berhadapan dengan pilihan raya uUmum ke-15.

"Mengambil saranan dari Yang di-Pertuan Agong, fokus utama mestilah mengeluarkan negara dari kemelut pandemik yang sehingga hari ini telah mengorbankan 13,480 nyawa. Sebarang keputusan lanjut berkaitan pembentukan kerajaan hari ini akan dibincangkan bersama dalam blok pembangkang."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS