Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Mendung di kala raja-raja bersidang, Istana Negara ulangi pendirian 18 Ogos
Diterbitkan:  Aug 20, 2021 4:03 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Hujan lebat menyambut pertemuan khas Raja-Raja Melayu hari ini, di tengah pencarian perdana menteri baru Malaysia.

Persidangan itu - yang bukanlah syarat diperlukan oleh Perlembagaan dalam penentuan perdana menteri - dijadualkan bermula jam 2.30pm.

Setakat jam tiga petang tadi, Sultan Kedah, Selangor, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan telah tiba di Istana Negara.

Menurut laporan Star Online, Raja Perlis serta Sultan Johor dan Sultan Kelantan tidak hadir dalam pertemuan hari ini.

Pada kira-kira jam 11 pagi tadi, halaman Facebook Istana Negara mengimbas semula peristiwa pada 17 Ogos lalu, yang menyaksikan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap pemimpin dan wakil parti-parti politik utama negara.

“Turut hadir pada sesi menghadap ini, Ketua Setiausaha Negara, Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Peguam Negara.

“Terdahulu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap secara maya ketua-ketua dan wakil-wakil komponen-komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah diadakan sebelum sesi menghadap ketua-ketua dan wakil-wakil parti-parti politik utama ini,” kata hantaran itu.

Kata Istana Negara, pertemuan itu diadakan ekoran peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Istana Negara berkata lagi, maklumat lanjut boleh dirujuk pada kenyataan media bertarikh 18 Ogos.

Kenyataan 18 Ogos itu merumuskan titah Agong kepada parti-parti politik, iaitu:

  • Sesiapa pun juga yang dilantik menerajui kepimpinan kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
  • Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa yang sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
  • Kesepakatan dan kejujuran ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
  • Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
  • Majoriti 'frontliners' berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit Covid-19 baharu setiap hari. Bahkan, fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.
  • Perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, program menangani pandemik Covid-19, termasuk program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok dan program pemulihan negara perlu dikekalkan.

Menurut Istana Negara, Agong bertitah secara khusus bahawa selepas dilantik, perdana menteri yang baru itu hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk membuktikan dirinya mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa Agong dan timbalannya menzahirkan pandangan bahawa semua ahli parlimen harus bersatu hati dalam menjernihkan kekusutan yang telah berlaku.

“Sebelum mengakhiri sesi menghadap semalam, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil politik utama, demi mengharmonikan suasana, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya.

“Semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan. Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua, manakala yang kalah pula tidak kalah semua,” kata Istana Negara dalam kenyataan pada 18 Ogos itu.

Ketibaan pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah

Ketibaan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir

Ketibaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlisah

Ketibaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

Ketibaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan

Sultan Kedah bersama rombongan tiba di Istana Negara


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS