Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiba masa untuk kerajaan perpaduan, kata badan pemikir

Kewujudan kerajaan perpaduan akan dapat menjadi tonggak kepada kestabilan politik, di samping memacu hala tuju negara keluar dari pandemik COVID-19, menurut badan pemikir EMIR Research.

Dr Rais Hussin dan Jason Loh Seong Wei yang merupakan sebahagian daripada pasukan penyelidik berkata kerajaan perpaduan juga akan membuka jalan untuk pemulihan penuh Covid-19 dan juga selepasnya.

Badan pemikir itu mengemukakan beberapa cadangan praktikalnya dalam pembentukan kerajaan perpaduan, termasuk mencadangkan agar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memuktamadkan kerajaan perpaduan yang difokuskan kepada pengurusan pandemik dan pemulihan ekonomi untuk tempoh setahun.

"Ia juga merupakan waktu yang tepat bagi raja berperlembagaan untuk tampil dan menyelesaikan kebuntuan politik sebagai badan keempat dalam kerajaan," kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Rais Hussin dan Loh juga mencadangkan Agong melantik perdana menteri daripada gabungan yang mempunyai jumlah terbanyak, manakala jawatan timbalan perdana menteri daripada gabungan lain, dan satu lagi jawatan timbalan perdana menteri dikhususkan kepada ahli politik dari Sabah atau Sarawak.

Kemelut politik negara ketika ini menyaksikan semua ahli parlimen (MP) diarah untuk menyerahkan akuan bersumpah untuk masing-masing mencalonkan calon perdana menteri ke Istana Negara selewat-lewatnya jam 4 petang Rabu lalu.

Notis yang dikeluarkan oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun kepada 220 MP itu adalah untuk membolehkan salah seorang daripada mereka dilantik sebagai perdana menteri susulan pengunduran Muhyiddin Yassin Isnin lalu.

EMIR Research juga berkata kabinet tidak seharusnya mengandungi lebih daripada 10 menteri dan 10 timbalan menteri.

Menurutnya di saat ketidaktentuan kesihatan awam dan ekonomi negara, kerajaan perlu konsisten dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu, termasuk memiliki kabinet yang besar.

Badan pemikir itu turut mencadangkan undang-undang antilompat parti dikaji dalam tempoh setahun, bagi memastikan kejadian lompat parti yang kerap tidak lagi berlaku, di samping bagi mengelak kekerapan kerajaan tumbang disebabkan oleh perbuatan lompat parti.

Dengan mengambil contoh akta Recall of MPs Act (2015) United Kingdom, EMIR Research mencadangkan agar PErkara 10 mengenai "kebebasan kesepakatan" diubah untuk menambahkan pada Perkara 10 (2) (c) supaya frasa sedemikian memberi maksud lebih jelas bahawa lompat parti adalah prejudis kepada kepentingan awam.

"MP dan Adun dilarang menukar gabungan parti atau politik sepanjang tempoh keseluruhan parlimen dan dewan undangan negeri masing-masing," menurut kenyataan itu.

Mereka menambah dengan adanya keadaan itu akhirnya seluruh negara bersiap sedia untuk menghadapi PRU ke-15 yang lebih adil bagi semua pihak, tanpa sebarang gabungan yang memiliki kelebihan dari segi kuasa sebagai penyandang.

Kerajaan perpaduan akan memastikan bahawa kedua-dua penyandang dan pembangkang memiliki peluang yang sama untuk bersaing pada PRU ke-15 sambil memastikan kestabilan dan kepastian politik.

"Penyelidikan EMIR juga berada di barisan depan dalam menuntut politik dan ekonomi empati. Ahli politik tidak boleh melupakan perkara ini.

"Kesejahteraan rakyat selalu penting dan mesti menjadi salah satu faktor dalam perhitungan politik semua pihak. Kerajaan perpaduan dapat mengatasi hal ini," tegas EMIR Research.

EMIR Research adalah badan pemikir bebas yang memfokuskan kepada cadangan dasar strategi berdasarkan kajian yang teliti.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS