Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ada restoran pilih untuk tetap tak benarkan makan di premis
Diterbitkan:  Aug 20, 2021 11:44 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Beberapa restoran di negeri-negeri di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) memutuskan untuk kekal tidak membenarkan makan di restoran (dine-in), walaupun selepas pelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bermula hari ini bagi mereka yang telah divaksin sepenuhnya.

Dalam kenyataan semalam, rangkaian restoran myBurgerLab antara lain menyuarakan kebimbangan sekiranya kerajaan melakukan ‘pusingan-U’ berhubung keputusan itu.

Katanya lagi, dengan pertukaran kerajaan, mungkin juga terdapat perubahan SOP selepas ini.

"Sebab ia pernah terjadi sebelum ini. Kami memilih untuk berjaga-jaga kali ini, ”kata myBurgerLab.

Alasan lain yang diberikan restoran itu adalah kerana merasakan SOP yang dikeluarkan setakat ini masih kurang jelas.

“Kami disarankan untuk memiliki ruang yang cukup untuk tempat makan. Jadi, adakah (jarak) satu meter atau dua meter? Adakah kita akan kena saman jika penguatkuasa datang periksa? Adakah kakitangan memerlukan satu dos (vaksin Covid-19) atau dua dos? Bagaimana pula bagi mereka yang berusia bawah 18 tahun dan belum menerima vaksinasi?" soal myBurgerLab.

Kedai makanan lain di sekitar Lembah Klang juga memutuskan perkara yang sama.

Dalam kenyataan di Facebook semalam, Another Cafe di Petaling Jaya menyuarakan kebimbangannya terhadap keselamatan pelanggannya dengan kelonggaran SOP tersebut.

"Sejujurnya kami sangat memerlukan hasil jualan dan pelanggan pada masa ini demi kelangsungan perniagaan kami. Tapi kamijuga mahu semua orang terus sihat," menurut restoran itu.

Kedai kek Delectable by Su turut memaklumkan bahawa notis pemberitahuan satu hari tidak cukup peniaga memahami situasi dan membiarkan pekerja mereka kembali "berada di tengah-tengah orang ramai".

"Kami telah berhati-hati untuk mewujudkan persekitaran selamat kepada semua orang yang bekerja di bawah kami dan kami akan terus melakukan apa yang kami amalkan sekarang...jadi tidak ada dine-in, tiada walk-in di Delectable Seputeh," katanya di Facebook.

Rangkaian makanan segera Mcdonald's juga berkata ia tetap tidak menyediakan perkhidmatan makan di restoran di kawasan di bawah Fasa 1 PPN buat masa ini.

Menurut restoran itu, hanya cawangan terpilih di kawasan di bawah Fasa 2 dan 3, iaitu Perlis, Sabah, Sarawak dan Labuan, yang telah mencapai kriteria yang ditetapkan pihaknya untuk membenarkan makan di restoran.

Semalam, Perdana Menteri sementara Muhyiddin Yassin mengumumkan individu di negeri-negeri di bawah Fasa 1 PPN yang sudah lengkap divaksinasi kini dibenarkan makan di restoran.

Mereka yang ingin berbuat demikian mesti menunjukkan sijil vaksin digital MySejahtera mereka.

Kawasan di bawah Fasa 1 PPN adalah Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Putrajaya.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Noor Hisham Abdullah mengingatkan kelonggaran itu dibuat demi ekonomi, bukan bermakna keadaan kini sudah selamat.

Noor Hisham juga mengingatkan orang ramai agar tetap mengamalkan langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan jangkitan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS