Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selangor pinjamkan 500,000 dos vaksin kepada CITF

Selangor akan meminjamkan stok 500,000 dos vaksin yang dibeli bagi kegunaan program Selangor Vaksin (SelVAX) kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) supaya dapat digunakan di negeri mengalami peningkatan kes tinggi dan mendadak.

Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari berkata negeri itu mempunyai baki stok sebanyak 500,000 dos vaksin dan akan diserahkan kepada CITF tidak lama lagi.

“Ia adalah sebagai pinjaman sebelum CITF memulangkan balik stok tersebut kepada kita untuk tujuan suntikan dos ketiga pada awal atau pertengahan tahun hadapan.

“Saya telah bincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang meminta sokongan untuk menggunakan dos-dos kita dan menyalurkannya kepada CITF atau Kementerian Kesihatan (KKM) bagi diagihkan ke negeri lain yang memerlukan pada masa ini,” katanya pada sidang media secara maya di Shah Alam, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata negeri itu dalam persiapan untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang akan bermula pada 23 Ogos ini.

“Antara usul yang akan dibentangkan adalah pindaan kepada Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor bagi membenarkan persidangan secara hibrid,” katanya.

Menurutnya, ia sebagai persediaan menghadapi penularan pandemik pada masa hadapan atau cabaran lain yang menyukarkan persidangan secara fizikal.

Beliau berkata persidangan DUN Selangor yang akan berlangsung selama sembilan hari, dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta pengendalian saringan supaya sidang dapat berjalan dengan selamat dan lancar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS