Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar mendakwa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berbohong kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung akuan berkanun (SD) yang ditandatangani mereka bagi menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, di dalam surat akuan bersumpah yang ditandatangani mereka sebelum ini tidak menyatakan sebarang syarat untuk menyokong calon perdana menteri.
Namun, menurut Mahfuz, berdasarkan kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin hari ini, ia jelas sokongan bersyarat.
“Saya dapati sokongan MP (Ahli Parlimen) PN ini adalah bertentangan dengan titah Tuanku seperti dalam surat pemakluman dari Speaker Dewan Rakyat. Ini bermakna MP PN telah membohongi YDPA dalam surat akuan bersumpah mereka yang tidak menyatakan syarat.
“Tetapi seperti kandungan kenyataan media dari Muhyiddin, Pengerusi PN menyatakan sokongan mereka adalah bersyarat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Mahfuz, sekiranya Ismail terpilih sebagai perdana menteri dan kerajaan yang bakal dibentuk dalam suasana tidak stabil dan aman, kemelut politik Malaysia akan kembali berulang.
“Oleh itu, satu proses baru perlu dicari oleh YDPA bagi menjamin PM (perdana menteri) yang dilantik nanti adalah daripada seorang yang tidak takut dengan peras ugut politik dalaman seperti yang berlaku dan tidak terikat dengan kepentingan politik parti sendiri,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin hari ini berkata sokongan yang diberikan gabungan itu kepada Ismail sebagai calon perdana menteri baru adalah bersyarat.
Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini Muhyiddin berkata jika mendapat perkenanAgong untuk menjadi perdana menteri nanti, naib presiden Umno itu mesti memastikan anggota kabinetnya terdiri daripada individu yang berintegriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah mahkamah.
Katanya, kerajaan PN di bawah pimpinan Ismail juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep raja berpelembagaan.
Kenyataan itu hadir ketika semua 114 ahli parlimen yang dipanggil Istana Negara selesai menghadap Agong petang tadi.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, dia yakin syarat dan ugutan dibuat PN kepada Ismail menjadikan Malaysia dipengaruhi politik "peras ugut bercorak mafia".
“Saya percaya berasaskan pergolakan politik dalaman Umno sebelum kejatuhan TSMY (Muhyiddin Yassin) sebagai PM sudah tentu Ismail Sabri berdepan dengan peras ugut dan syarat yang tidak dilafazkan oleh kumpulan presiden Umno.
“Saya mohon kepada Kebawah Duli Tuanku YDPA sebelum membuat keputusan perlu melihat perkara ini sedalamnya demi masa depan kesejahteraan Malaysia tercinta,” katanya.
Pilihan di tangan Ismail, kata pemuda Bersatu
Sementara itu, dalam kenyataan media berasingan Ketua Penerangan Bersatu Nasional, Mohd Ashraf Mustakim Badrul Munir senada dengan seruan dan amaran Muhyiddin untuk meneruskan agenda perubahan selaras dengan gagasan yang dicitrakan perdana menteri sementara itu.
Katanya, ini termasuk dalam soal pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan selain memastikan ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.
Oleh itu, Mohd Ashraf berkata kini menjadi satu cabaran kepada Ismail Sabri atau lebih mesra dipanggil 'Pak Long' untuk mematuhi perkara tersebut.
Ashraf berkata Umno kini perlu membuktikan apakah mereka sekadar mahu kuasa atau menyelamatkan 'bangkai-bangkai bernyawa' atas kesalahan rasuah dan salah laku.
"Adakah Pak Long Mail akan menjadi 'estafet' perubahan atau pewaris paradigma kepimpinan Melayu yang telah dipelopori oleh 'abah' Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berani melawan kebobrokan pemimpin Umno sehingga dibuang dari Umno pada 2016.
"Atau Ismail Sabri akan tunduk kepada desakan-desakan 'sahabat baik' kluster mahkamah, mereka yang telah merosakkan nama baik Umno. Jika itu tindakan Datuk Seri, ia pasti membuatkan negara mengenang kepimpinan Datuk Seri yang sanggup membawa negara ke lembah kehinaan.
"Pilihan di tangan Datuk Seri Ismail Sabri, Pak Long! katanya.