Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banyak tempat dibuka bukan bermakna selamat - Noor Hisham
Diterbitkan:  Aug 19, 2021 9:47 PM
Dikemaskini: 2:08 PM

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai bahawa kelonggaran yang diberikan dengan pembukaan semula beberapa sektor dibuat atas pertimbangan ekonomi dan bukan kerana ia selamat daripada wabak Covid-19.

"Peringatan untuk semua, banyak tempat dibuka kerana ekonomi dan bukan kerana ia selamat.

"Ingat tu ...," kata Noor Hisham di Facebook, beberapa jam setelah perdana menteri sementara, Muhyiddin Yassin mengumumkan perturan yang lebih longgar individu yang telah melengkapkan vaksinasi di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Pakai pelitup muka, dua lapis kalau boleh, amalkan jarak fizikal dan kerap mencuci tangan.

“Elakkan tempat yang sesak dan sempit. Tetap selamat dan dapatkan vaksin secepat mungkin, "katanya di Facebook.

Begitu juga, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Anas Alam Faizli berkata kelonggaran itu bukan bermaksud individu yang telah lengkap divaksin boleh berpuas hati.

"Hanya kerana anda boleh bukan bermakna anda mesti keluar. Jangan leka hanya kerana anda diberi vaksin.

“Patuhi prosedur operasi standard dengan ketat setiap masa. Jangan bersentuhan. Jangan bersalam. Keselamatan mesti jadi keutamaan nombor satu anda,”katanya di Twitter.

ProtectHealth adalah entiti milik Kementerian Kesihatan yang menghubungkan penglibatan sektor swasta dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Antara peraturan yang dilonggarkan di bawah Fasa 1 PPN bermula esok termasuk kebenaran untuk makan di restoran bagi individu yang diberi vaksin sepenuhnya.

Selain itu lebih banyak aktiviti rekreasi dibenarkan untuk individu yang  telah menerima dua dos vaksin, termasuk memancing, mendaki, berkhemah, berbasikal, bermain golf dan pertandingan badminton atau tenis perseorangan.

Kelonggaran itu diberikan memandangkan kadar vaksinasi di seluruh negara untuk golongan dewasa yang telah melengkapkan dua dos vaksin melebihi 50 peratus berbanding sasaran awal pada 31 Ogos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS